Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
40) SKIM MESRA USIA EMAS (SMUE)
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Tan Pok Shyong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapa jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri untuk SMUE dari tahun 2008 hingga 2013?
Jumlah peruntukan yang telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri untuk SMUE dari tahun 2008 hingga 2013 adalah seperti berikut:-
Tahun Jumlah RM 2008 867,000.00 2009 19,764,000.00 2010 21,515,500.00 2011 20,700,500.00 2012 24,725,500.00 2013 21,648,000.00 JUMLAH 109,220,500.00 Sumber: Portal Skim Mesra Usia Emas
-
Apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk mengatasi kelewatan pemberian baki sumbangan RM1,500-00 di mana ada pemohon masih belum dapat menerimanya selepas 7 bulan?
Kerajaan Negeri Selangor bagi memastikan pembayaran SMUE – Fasa II kepada penama dibuat di dalam tempoh yang ditetapkan akan melaksanakan beberapa penambahbaikan seperti berikut:-
i. Majlis Penyampaian Sumbangan SMUE – Fasa II
Majlis Penyampaian Sumbangan SMUE – Fasa II oleh Pejabat Daerah dan Tanah hendaklah diadakan dengan lebih kerap bagi memastikan bayaran SMUE
– Fasa II dapat diserahkan dengan lebih cepat. Kekerapan penganjuran Majlis Penyampaian Sumbangan SMUE – Fasa II oleh Pejabat Daerah dan Tanah adalah seperti berikut:-
Kategori
Kekerapan Minimum Majlis
Pejabat Daerah Dan Tanah Kecil 2 Kali Sebulan Kuala Selangor, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Sepang dan Kuala Langat Besar 3 Kali Sebulan Petaling, Gombak, Hulu Langat dan Klang
ii. Penetapan tarikh Majlis Penyampaian Sumbangan SMUE – Fasa II
Pejabat Daerah dan Tanah hendaklah menyediakan Takwim Tahunan bagi Majlis Penyampaian Sumbangan SMUE – Fasa II dan mengedarkannya kepada semua Ahli Dewan Negeri Selangor, Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN. Penetapan tarikh Majlis Penyampaian Sumbangan SMUE – Fasa II hendaklah dipatuhi oleh Ahli Dewan Negeri Selangor, Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN.
Sekiranya terdapat Pusat Khidmat Masyarakat DUN yang tidak dapat menguruskan Majlis Penyampaian Sumbangan SMUE – Fasa II pada tarikh yang ditetapkan, pengurusan Majlis perlu atau boleh dilaksanakan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN yang lain dan penyerahan akan dilaksanakan oleh Ahli Dewan Negeri yang berkenaan. Sekiranya Y.B. Ahli Dewan Negeri tidak dapat menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan SMUE – Fasa II pada tarikh yang ditetapkan, ianya boleh disempurnakan oleh Tuan Pegawai Daerah atau Ketua Penolong Pegawai Daerah atau Penolong Pegawai Daerah mengikut daerah yang berkenaan.
iii. Surat Panggilan Majlis Penyampaian Sumbangan SMUE – Fasa II
Pejabat Daerah dan Tanah adalah dikehendaki menghantar surat secara terus kepada penerima bayaran dengan salinan kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN. Sekiranya penerima tidak hadir pada majlis tersebut, satu surat peringatan (surat peringatan pertama) hendaklah dihantar kepada penerima dengan memaklumkan beliau hendaklah hadir ke Pejabat Daerah dan Tanah yang berkenaan dalam masa 21 hari dari tarikh majlis untuk mengambil sumbangan. Seterusnya, surat peringatan kedua hendaklah dihantar kepada penerima sekiranya beliau masih belum hadir ke Pejabat Daerah dan Tanah untuk mengambil sumbangan dengan pemakluman untuk hadir dalam masa 14 hari dari tarikh surat. Surat-surat ini akan dijadikan dokumen sokongan sekiranya nama penerima dikeluarkan dari senarai penerima di sistem Skim Mesra Usia Emas.
iv. Tempoh tuntutan Bayaran SMUE – Fasa II
Dasar sedia ada menetapkan nama penama akan dikeluarkan daripada senarai penerima SMUE – Fasa II sekiranya penama tidak hadir pada majlis penyampaian dan juga tidak menuntut wang dalam tempoh enam (6) bulan dan usaha/tindakan telah diambil untuk menghubungi penama. Pejabat Daerah dan Tanah hendaklah mengemukakan maklumat berserta dokumen lengkap kepada Yayasan Warisan Anak Selangor dalam tempoh tujuh (7) hari selepas genapnya tempoh enam (6) bulan tersebut untuk tujuan pengemaskinian maklumat di sistem Skim Mesra Usia Emas.
v. Laporan Tunggakan Penghantaran Dokumen Rekupan SMUE
Pusat Khidmat Masyarakat DUN adalah dikehendaki menyediakan Laporan Tunggakan Penghantaran Dokumen Rekupan SMUE pada setiap bulan. Laporan Tunggakan Penghantaran Dokumen Rekupan SMUE yang telah disahkan oleh Ahli Dewan Negeri / Pegawai Penyelaras hendaklah dikemukakan kepada Pejabat Daerah dan Tanah yang berkenaan selewat-lewatnya pada 10 haribulan bulan berikutnya. Laporan tersebut juga boleh dihantar secara e-mel kepada Pejabat Daerah dan Tanah yang berkenaan.
vi. Penyerahan Dokumen Pembayaran SMUE – Fasa I
Pusat Khidmat Masyarakat DUN Selangor adalah dikehendaki mengemukakan dokumen pembayaran SMUE – Fasa I kepada Pejabat Daerah dan Tanah dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh pembayaran SMUE – Fasa I bagi memastikan pembayaran SMUE – Fasa II kepada penama dapat dilaksanakan.
vii. Pembersihan Data SMUE
Pejabat Daerah dan Tanah adalah dikehendaki melaksanakan pembersihan data ke atas data-data yang wujud di dalam sistem Skim Mesra Usia Emas. Maklumat yang lengkap hendaklah dikemukakan kepada Yayasan Warisan Anak Selangor berkenaan kesilapan bayaran, kesilapan rekod, ahli tidak layak SMUE – Fasa II, bayaran SMUE – Fasa I kepada ahli tak layak dan pengguguran dari senarai penerima bayaran SMUE – Fasa II kepada waris yang gagal dihubungi selepas tempoh enam (6) bulan. Ini adalah penting agar data-data di sistem Skim Mesra Usia Emas akan dapat menggambarkan kedudukan sebenar pelaksanaan SMUE.