Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

75) SKIM MESRA USIA EMAS (SMUE)

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Dr Xavier Jayakumar A/l Arulanandam

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Mengapakah manfaat Skim Mesra Usia Emas (SMUE), terlalu lewat dibayar, sehingga melebihi had masa yang ditetapkan?

    Bayaran manfaat Skim Mesra Usia Emas (SMUE) ini melibatkan proses. Ia juga melibatkan beberapa entiti termasuk Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat serta Pejabat Daerah/Tanah yang berkaitan.

    Apabila berlaku pembubaran untuk PRU-13, semua kuasa yang telah diberikan kepada Ahli Dewan Negeri/Pusat Khidmat Masyarakat telah ditarik balik. Ini menyebabkan bayaran yang sebelum ini boleh dibuat oleh ADN/PKM telah dibatalkan dan tidak lagi boleh dilakukan mereka. Semua kuasa membuat bayaran manfaat telah dipindahkan kepada Pejabat Daerah/Tanah yang berkaitan.

    Keadaan ini tentunya memberi kesan kepada gerak kerja Pejabat Daerah/Tanah. Pejabat Daerah/Tanah Petaling sebagai contoh terpaksa menguruskan permohonan bayaran daripada 18 Pusat Khidmat Masyarakat di bawah seliaannya berbanding sebelum ini, setiap satu Pusat Khidmat menguruskan bayaran di peringkat DUN masing-masing.

    Seusai PRU-13, kad ATM yang baharu perlu di berikan kepada setiap ADN yang telah terpilih. Akaun bank khas untuk SMUE perlu dibuka terlebih dahulu dan ia melibatkan urusan dengan pihak bank. Keadaan ini juga menyumbang kepada kelewatan yang dimaksudkan.

    Dalam masa yang sama, terdapat juga Pusat Khidmat Masyarakat yang lambat menghantar dokumen kepada Pejabat Daerah/Tanah menyebabkan rekupan tidak dapat dibuat pada jangkamasa yang sepatutnya.

    Buat masa ini, permasalahan di atas telah dapat diperbaiki dan banyak penambahbaikan sistem penyampaian manfaat yang telah dilakukan. Ini jelas dapat dilihat bilamana prestasi penyampaian manfaat telah semakin baik dan tunggakan juga telah dapat dikurangkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.