Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

239) SKIM MESRA USIA EMAS

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Rodziah Binti Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah perancangan SMUE untuk diberikan secara tahunan sebanyak RM100 kepada warga emas akan dilaksanakan?

    Kerajaan Negeri berhasrat untuk memberikan manfaat RM100 setahun untuk tempoh 5 tahun kepada setiap Ahli SMUE yang berdaftar.

    Kerajaan Negeri juga telah menerima cadangan untuk nilai RM100 itu diberikan dalam bentuk program JOM Shopping. Ini kerana bukan sahaja ia dapat mengurangkan tekanan akibat sindrom “empty bird nest”, tetapi mampu menimbulkan suasana keceriaan, memberikan ruang dan peluang untuk mereka saling berinteraksi, membuat keputusan dan pilihan sendiri untuk memiliki barangan yang dihajati, malahan ia juga dapat mengeratkan hubungan di antara pemimpin dengan rakyat di satu-satu kawasan.

    Sekiranya Ahli SMUE tersebut meninggal dunia sebelum sempat menamatkan 5 kali (setahun RM100 X 5 tahun), bakinya tidak akan dibayar kepada waris.

  2. Bilakah ianya hendak di laksanakan?

    Disebabkan terdapatnya penambahbaikan dan beberapa pengubahsuaian yang perlu dilakukan termasuk yang melibatkan perkara berkaitan prosedur kewangan, ia tidaklah dapat dilaksanakan pada ketika ini.

    Jumlah manfaat yang dicadangkan ini akan diambil daripada jumlah asal wang manfaat SMUE yang berjumlah RM2500.00 yang ketika ini diserahkan dalam dua fasa yang berlainan. Wang tersebut adalah wang yang berada dalam satu tabung amanah yang dikhususkan bagi membayar manfaat berupa khairat kematian apabila ahli SMUE yang berdaftar telah meninggal dunia. Maka apabila ia mahu digunakan bagi tujuan yang lain, sedikit penyesuaian dalam prosedur kewangan perlulah dilakukan. Kerajaan Negeri berharap ia mampu dilaksanakan pada tahun hadapan setelah perkara yang berkaitan dapat diselesaikan.

  3. Apakah KPI tempoh masa untuk pembayaran fasa kedua SMUE oleh pejabat daerah kepada waris penerima?

    Bagi program Skim Mesra Usia Emas ini, terdapat dua (2) Fasa ia itu Fasa Pertama dan Fasa Kedua pembayaran manfaat tersebut.

    Bagi Fasa Pertama, bayaran akan dibuat oleh pihak Pusat Khidmat Masyarakat DUN setelah menerima laporan kematian dan memastikan segala dokumen telah lengkap serta prosedur yang berkaitan telah dipatuhi.

    Sementara bagi Fasa Kedua, ia akan diuruskan oleh Pejabat Daerah dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN dan juga Rantaian Mesra Sdn. Bhd. Penerima manfaat akan dipanggil ke satu majlis khas bagi menerima bayaran manfaat berkaitan.

    Untuk tempoh bayaran Fasa Kedua SMUE ini, ia perlu dibayar kepada waris dalam tempoh 60 hari setelah bayaran Fasa Pertama dibuat oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN yang berkenaan.

     

     

Lampiran

Tiada Lampiran.