Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
250) SKIM MESRA USIA EMAS
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan jumlah individu dalam golongan sasar B40 yang telah berdaftar dengan dalam SMUE?
Pertanyaan ini telah dijawab bersama pertanyaan Yang Berhormat Sungai Air Tawar No. 95.
Untuk makluman Yang Berhormat Semenyih, Skim Mesra Usia Emas (SMUE) merupakan suatu penghargaan kepada golongan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di Negeri Selangor agar kelangsungan hidup mereka dapat dijaga dengan manfaat yang diwujudkan di bawah skim ini, iaitu pemberian baucar beli-belah bernilai RM100 pada bulan kelahiran dan khairat kematian bernilai RM500 kepada waris dinamakan oleh ahli SMUE. Skim ini terbuka kepada semua warga emas dan OKU yang bermastautin di Negeri Selangor tanpa mengira pendapatan bulanan mereka. Oleh yang demikian, pihak Agensi Pelaksana iaitu Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) tiada rekod dan data ahli SMUE berdasarkan taraf pendapatan mereka.
-
Senaraikan program IPR yang boleh dimohon untuk golongan B40 dan M40 selepas pensejajaran semula oleh kerajaan negeri?
Keperihatinan Kerajaan Negeri kepada kebaikan rakyat Negeri Selangor terserlah sejak sekian lama melalui kewujudan program-program peduli rakyat yang turut memberi fokus untuk meningkatkan taraf pendapatan dan kehidupan mereka. Di antara program yang telah dilaksanakan pada masa kini untuk membantu rakyat Negeri Selangor ialah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR). Program IPR merupakan program holistik dalam jangka panjang yang tidak hanya menyajikan pemberian bantuan kebajikan semata-mata, tetapi turut memberdaya dan memperkasakan penerima manfaat yang terdiri daripada pelbagai golongan termasuklah B40 dan M40.
Setelah penjajaran program-program IPR yang dilaksanakan pada tahun 2019, program IPR yang disasarkan kepada golongan B40 bagi membantu menaikkan taraf pendapatan dan kehidupan mereka adalah seperti berikut:
BIL. PROGRAM 1 Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) 2 Skim Air Darul Ehsan (SADE) 3 Bantuan Kebajikan Masyarakat (Bantuan Am) 4 Bantuan Bina dan Baiki Rumah 5 Program Jom Shopping Perayaan 6 Skim Insurans Peduli Sihat (SiPS) 7 Bantuan Sihat Selangor (BSS) 8 Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar (Asuh Pintar) 9 Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 10 Hadiah Pengajian IPT (HPIPT) 11 Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS) 12 Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan 13 Skim Rumah Selangorku (RKSU) 14 Skim Smart Sewa Di antara program-program IPR yang disasarkan kepada golongan M40 pula adalah seperti berikut:
- Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar (Asuh Pintar);
- Hadiah Pengajian Institusi Pengajian Tinggi (HPIPT);
- Skim Pinjaman Mikro Kredit HIJRAH Selangor;
- Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS); dan
- Skim Rumah Selangorku (RSKU).
Selain daripada program IPR, terdapat banyak lagi program sedia ada di bawah Kerajaan Negeri Selangor yang dapat membantu menjana pendapatan rakyat sama ada dalam sektor usahawan, pertanian, kesihatan dan juga pendidikan yang boleh dinikmati oleh golongan M40. Program-program penjanaan pendapatan rakyat ini ditawarkan kepada mereka yang berkelayakan dan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Di antara program ini adalah Selangor Digital e-Supply Chain (SELDEC), Selangor Advance dan Pasar Agro Selangor.
Kerajaan negeri sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap program sedia ada dan merangka program-program baharu yang bersesuaian dan menepati keperluan semua lapisan masyarakat di Selangor, sesuai dengan gagasan Selangor Maju Bersama.