Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012
19 Mac - 23 Mac 2012 dan 26 Mac - 27 Mac 2012
77) SKIM KREDIT MIKRO
Tahun: 2012
Sesi: 1
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Skim Mikro (SKIMSEL) dan juga Skim Kredit Mikro Miskin Bandar (MIMBAR Selangor) telah lama diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri. Apakah perkembangan terkini skim-skim tersebut?
MiMBAR Selangor kini merancang untuk menghasilkan pelbagai produk tambahan yang diletakkan di bawah Program Bantuan Niaga yang bermatlamat memberi bantuan peralatan, produk dan ruang dalam perniagaan. Justeru, MiMBAR Selangor telah menghasilkan dua (2) jenis kiosk iaitu kiosk burger dan kiosk ice blended. Walau bagaimanapun, perkembangan terkini MiMBAR Selangor akan mengeluarkan 7 lagi jenis kiosk iaitu kiosk ayam rangup, kiosk ais krim, kiosk kebab, kiosk char kuey teow, kiosk putu bambu, kiosk serbaguna, dan kiosk aneka sup yang memudahkan peniaga kecil untuk mobilisasi tempat perniagaan mereka. Selain daripada itu, MiMBAR Selangor juga akan menghasilkan produk kopi kolagen dan barangan kecantikan wanita yang mampu membantu peserta MiMBAR Selangor menjana lebihan pendapatan dengan kaedah pemasaran yang mudah selain daripada pendapatan perniagaan sedia ada. Tujuan penghasilan produk ini adalah bukan sahaja untuk menambah produk jualan peniaga akan tetapi MiMBAR Selangor dapat memberikan kelebihan dari segi harga yang mana MiMBAR Selangor tidak mengaut sebarang keuntungan malahan membantu peniaga-peniaga kecil mendapatkan stok produk yang berkualiti tinggi dengan harga yang jauh lebih murah. Selain daripada itu, melalui kajian yang diperolehi selama 12 bulan beroperasi, MiMBAR Selangor mendapati dengan nilai pinjaman yang mikro tidak dapat membantu peniaga-peniaga membawa keluar perniagaannya ke satu tahap yang lebih tinggi dalam masa yang singkat. Walau bagaimanapun, sekiranya diberikan pinjaman dalam nilai yang makro juga akan membebankan peniaga kecil untuk menanggung pembayaran balik kepada MiMBAR Selangor. Justeru, MiMBAR Selangor mengambil langkah untuk mewujudkan pinjaman
secara berperingkat yang mana pemohon yang sudah menerima pinjaman peringkat pertama dibenarkan memohon peringkat seterusnya melalui konsep dan lingkungan nilai pinjaman tertentu. Akan tetapi kelebihan ini diberikan kepada penerima yang memiliki rekod yang disiplin termasuk dapat mengembangkan perniagaannya yang sedia ada.
-
Bagaimanakah prestasi bayaran balik mereka yang telah menerima bantuan dari skim-skim ini?
Prestasi bayaran balik mereka yang telah menerima bantuan dari skim MiMBAR Selangor dapat dibahagikan kepada 4 kumpulan: Kumpulan pemotongan S.I
Mereka ini adalah golongan yang bertanggungjawab, berdisplin dan mengetahui proses ‘Standing Instruction” yang digunakan bersama bank.Kumpulan ini juga merupakan kumpulan yang sangat cemerlang dari segi pembayaran balik pinjaman. Pihak MiMBAR Selangor tidak perlu risau atau mengingatkan peserta dalam kumpulan ini mengenai bayaran balik, mereka akan sentiasa menyediakan wang yang secukupnya di dalam bank masing-masing untuk pemotongan pinjaman setiap bulan. Kumpulan ini adalah golongan peserta yang betul-betul ingin memajukan diri sendiri dengan menjaga sebaik mungkin peluang yang telah diberikan kepada mereka.Kumpulan ini adalah golongan yang mendengar dan menggunakan segala ilmu yang diberi semasa Kursus Pra Kelulusan untuk memajukan diri sendiri.Selain itu mereka juga ingin terus menggunakan kemudahan MiMBAR Selangor di masa hadapan untuk pinjaman kedua dan seterusnya untuk memajukan perniagaan mereka, oleh sebab faktor itu mereka menjaga rekod pembayaran dengan baik dan dengan ini juga menunjukkan perkembangan perniagaan mereka yang stabil. ii. Kumpulan manja.
Kumpulan ini adalah mereka yang memerlukan perhatian dan peringatan dari pegawai MiMBAR Selangor untuk membuat pembayaran balik pinjaman. Kumpulan ini tidak begitu memahami proses “standing Instruction” yang digunakan, mereka ini adalah mereka yang tidak memberi perhatian sepenuhnya semasa taklimat diberikan. Ada juga di antara mereka yang mempunyai sikap suka menangguhkan bayaran disebabkan sibuk dengan urusan perniagaan.
- Kumpulan Liat.
Kumpulan ini adalah mereka yang tidak mempunyai perasaan segan silu dan hanya mementingkan diri sendiri. Mereka tidak berfikir ke hadapan yang mana boleh mengguntungkan diri mereka dan orang lain. Mereka perlu dipantau dan dikejar setiap masa dan memerlukan rundingan bagi membolehkan mereka membuat bayaran.Ini termasuk memanjangkan tempoh pinjaman dan mengurangkan bayaran ansuran bulanan.
- Kumpulan Masalah
Mereka di dalam kumpulan ini ada yang tidak berpuas hati dengan pinjaman yang diterima, atas alasan ini mereka berpakat tidak mahu membayar. Ada juga di antara mereka yang menukar nombor telefon dan berpindah rumah.Ini menyukarkan pihak MiMBAR Selangor untuk mengesan mereka. Selain itu ada juga di antara mereka yang tidak mahu membayar kerana ingin melihat kegagalan program ini di mana mereka mendapat maklumat dan hasutan dari pihak-pihak tertentu yang mahu menjatuhkan program ini.Tidak dinafikan juga ade segelintir dari kumpulan ini di mana mereka benar-benar susah dan menghadapi masalah seperti kesihatan dan sebagainya.
NPL yang direkodkan bagi institusi Mikrokredit kawasan Bandar adalah dalam lingkungan 30% – 50%.Peratusan bayaran balik pinjaman MiMBAR Selangor yang berjaya dikutip adalah sebanyak 71% jadi NPL MiMBAR Selangor adalah sebanyak 29%.
-
Bagaimanakah skim MIMBAR Selangor dapat membantu rakyat miskin di kawasan Pelabuhan Klang?
MiMBAR Selangor berperanan dalam memberi tambahan modal kepada peniaga-peniaga kecil di bandar Selangor dalam bentuk pinjaman. Program yang berbentuk pinjaman tanpa faedah atau caj tambahan ini mampu membantu rakyat di bandar Selangor termasuk di Pelabuhan Klang terutama peniagapeniaga kecil mengembangkan keupayaan perniagaannya secara berperingkat. Pelbagai kaedah promosi telah diadakan di DUN Pelabuhan Klang untuk menyampaikan informasi dan menyebarkan maklumat berkenaan dengan MiMBAR Selangor termasuk kempen penerangan MiMBAR Selangor dan pameran di program-program kerajaan negeri. MiMBAR Selangor juga telah menyampaikan taklimat kepada semua pegawai pusat khidmat DUN supaya mereka jelas dengan kewujudan dan matlamat MiMBAR Selangor. Selain daripada itu, MiMBAR Selangor juga mengambil langkah mendekati peniagapeniaga kecil di sekitar DUN Pelabuhan Klang supaya mereka mendapat informasi ini dengan lebih tepat. Program ini secara tidak langsung dapat membantu rakyat di Pelabuhan Klang melepasi Paras Garis Kemiskinan di bandar dengan usaha mengembangkan dan memajukan perniagaannya. Walau bagaimanapun, jumlah pemohon dari DUN Pelabuhan Klang adalah seramai 374 orang dan 100 orang telah berjaya menerima pinjaman MiMBAR Selangor