Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
164) SKIM KESIHATAN WANITA SELANGOR
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Puan Nurul Syazwani Binti Noh
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan jumlah pemohon Skim Kesihatan Wanita Selangor (MammoSel) mengikut pecahan DUN.
Penjagaan aspek kesihatan merupakan salah satu keutamaan oleh Kerajaan Negeri. Selaku negeri berkebajikan, penjagaan kesihatan yang baik mampu melahirkan rakyat yang berdaya saing dan seterusnya merancakkan sektor ekonomi setempat. Dalam hal ini, aspek kesihatan wanita turut tidak terkecuali. Justeru, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program Skim Kesihatan Wanita Selangor (SKW) bermula pada tahun 2010 yang bertujuan memberi perkhidmatan pemeriksaan mammogram secara percuma kepada seluruh wanita di negeri Selangor. Program ini telah dikendalikan oleh pihak Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) sehingga tahun 2021.
Pada tahun 2022, program Saringan Kanser Payudara ini telah diselaraskan di bawah Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam di mana program ini telah dilaksanakan bersekali dengan siri Jelajah Selangor Saring melalui Program Selangor Kanser (SelCAN). Namun, pihak YAWAS masih lagi meneruskan siri saringan kanser payudara bagi permohonan sedia ada yang telah direkodkan dalam data pihak YAWAS bagi tahun 2020 dan 2021.
Berdasarkan statistik yang diterima daripada pihak Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), seramai 1,165 orang telah menjalani pemeriksaan pada tahun 2020 dan seramai 236 orang pada tahun 2021. Perincian jumlah bagi setiap DUN adalah seperti di Lampiran 1. Manakala jumlah pemohon bagi program mammogram di bawah SelCAN adalah seperti di Lampiran 2.
Merujuk kepada statistik, jumlah permohonan mammogram bagi tahun 2018 sehingga tahun 2021 menunjukkan penurunan iaitu daripada 6,571 permohonan kepada 236 permohonan. Kota Damansara mencatatkan jumlah permohonan tertinggi iaitu sebanyak 173 permohonan.
Bagi tahun 2022 dan 2023, sejumlah 11,539 kupon telah dikeluarkan dengan 1,446 individu telah hadir menjalani ujian mammogram, ultrasound dan biopsi. Subang Jaya mencatatkan jumlah kupon tertinggi dikeluarkan iaitu berjumlah 657 kupon. Kupon ini bermaksud individu yang menepati syarat saringan awal di aplikasi SELANGKAH bagi menjalani saringan mammogram.
-
Adakah Kerajaan Negeri mempunyai cadangan untuk menurunkan kelayakan had umur skim ini?
Pelaksanaan had umur bagi saringan payu dara adalah berdasarkan saranan oleh Kementrerian Kesihatan Malaysia (KKM). Justeru itu, pada masa ini, Kerajaan Negeri akan mengikuti garis panduan yang diberikan oleh KKM bagi memastikan pelaksanaan program ini berjalan dengan lancar.
-
Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengadakan skim seperti ini untuk kesihatan kaum lelaki?
Kerajaan Negeri juga mengambil berat akan kesihatan kaum lelaki. Bagi kaum lelaki, kesihatan kanser prostat adalah salah satu isu kesihatan yang perlu diberi keutamaan. Justeru itu, saringan kanser prostat turut disediakan di bawah Program Selangor Kanser. Walau bagaimanapun, jumlah individu yang menjalani saringan kanser prostat masih rendah dan hebahan promosi berkaitan kepentingan menjalani saringan perlu dilaksanakan dengan lebih meluas. Kerajaan Negeri akan mengadakan saringan kanser khusus kepada kaum lelaki berdasarkan keperluan dan situasi kesihatan semasa.