Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

300) SKIM JAMINAN AIR MENTAH

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Seri Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah keberkesanan peruntukan Kerajaan Negeri sejumlah RM300 juta di bawah Skim Jaminan Air Mentah untuk menjamin kelestarian bekalan air mentah di Negeri Selangor?

    Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) merangkumi 2 fasa, iaitu Fasa 1 bagi menangani isu pencemaran air di Sungai Selangor dan Sungai Semeyih manakala Fasa 2 bagi memastikan kecukupan air mentah dalam menghadapi musim kemarau. Perbelanjaan sebanyak RM300 juta adalah digunakan untuk melaksanakan projek SJAM Fasa 1 yang melibatkan Projek Pengepaman Terus Dari Kolam Takungan Di Sungai Selangor Dan Sungai Langat Untuk Menjamin Tiada Gangguan Operasi Loji Rawatan Air SSP 1, 2, 3, Rantau Panjang & Semenyih Semasa Berlaku Insiden Pencemaran Sumber Air Mentah.

    Selain kerja-kerja pembinaan infrastruktur pengepaman di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih, SJAM juga merangkumi kerja-kerja rawatan biologikal/ bio-remediation bagi tujuan pemuliharaan kualiti air Sg. Gong, dan Sg. Sembah, pembangunan stesen telemetri kualiti air bagi tujuan amaran awal di hulu muka sauk dan juga pemantauan dan pengawasan lembangan Sungai oleh Skuad PANTAS.

    Sebelum pelaksanaan SJAM, kerap berlaku henti tugas loji rawatan air yang berpunca dari pencemaran sumber air mentah. Sebagai contoh, pada tahun 2020 sahaja telah berlaku henti tugas loji sebanyak lapan (8) kali berpunca dari pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor dan satu (1) kali di Sungai Semenyih. Bagi tahun 2021 pula, sebanyak tiga (3) insiden pencemaran bau berlaku di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih.

    Pembekalan air yang berpunca dari Sungai Selangor melalui Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang serta LRA Sungai Selangor (SSP 1, 2 & 3) membekalkan hampir 60% bekalan air kepada pengguna meliputi kawasan Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat melibatkan 1,292 kawasan dan 1,196,457 akaun pengguna. LRA Sg Semenyih yang mendapat air mentah dari Sungai Langat pula membekalkan air meliputi 462 kawasan yang merangkumi 388,690 akaun pengguna.

    Keberkesanan projek infrastruktur SJAM akan dapat dinikmati oleh hampir 80% rakyat Negeri Selangor termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya apabila tidak lagi berhadapan dengan gangguan bekalan air walaupun berlaku pencemaran air mentah di Sungai Selangor dan Sungai Langat.

    Selain dari mengatasi pencemaran, projek infrastruktur SJAM juga boleh digunakan semasa berlaku kemarau panjang di mana sumber bekalan air mentah ke loji rawatan air boleh menggunakan air dari kolam.

Lampiran

Tiada Lampiran.