Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

235) SKIM INSURANS PEDULI SIHAT

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Harumaini Bin Haji Omar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah cara kerajaan dalam meningkatkan kuota Peduli Sihat terutamanya ditempat yang mempunyai pengundi yang ramai serta taraf hidup yang rendah?

    Dalam mendepani kos sara hidup yang semakin meningkat pada masa kini, Kerajaan Negeri sentiasa memperkenal bantuan dan inisiatif dalam membantu rakyat negeri Selangor. Selari dengan tanggungjawab dan keprihatinan Kerajaan Negeri, Program Skim Peduli Sihat (SPS) yang diperkenal bermula pada tahun 2017 telah membantu golongan yang kurang berkemampuan mendapatkan rawatan tertentu di klinik panel dengan lebih pantas dan selesa. Penjenamaan SPS bagi mencakupi manfaat insurans kepada Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS) pada tahun 2020 telah memberi nilai tambah kepada program SPS.

    Menyedari hakikat keperluan pertambahan kuota terutama di kawasan bandar, Kerajaan Negeri akan melaksanakan penstrukturan semula SIPS bermula pada tahun 2022 dengan pertambahan kuota kepada 90,000 orang penerima, berbanding 85,000 orang pada tahun 2021. Penstrukturan semula ini juga akan melibatkan kaedah kelulusan yang akan melibatkan Yang Berhormat ADUN itu sendiri, di samping syarat-syarat yang akan ditambahbaik. Proses penstrukturan semula ini sedang di peringkat perbincangan dan akan diumumkan menjelang tahun 2022.

  2. Apakah usaha kerajaan untuk memastikan golongan pemegang kad OKU mendapat manfaat inisiatif Skim Insurans Peduli Sihat?

    Berpegang kepada Sustainable Development Goals (SDG) Goal 3 “Good Health and Well-being “yang menekankan tiada pihak yang tertinggal (no one left behind) dalam mendapatkan akses kesihatan yang baik, golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) turut tidak ketinggalan dalam menikmati manfaat di bawah Program SIPS. Ini selaras dengan dibuktikan apabila Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 7 / 2020 yang diadakan pada 19 Februari 2020 telah bersetuju bagi memberikan tambahan kuota sebanyak 200 penerima kepada golongan OKU. Kerajaan Negeri sentiasa melaksanakan sesi libat urus bersama pihak ADUN dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) bagi tujuan hebahan penerima SIPS di bawah kategori OKU. Bagi memantapkan usaha ini, Kerajaan Negeri akan memperluas sesi libat urus bersama pihak berkepentingan seperti badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan OKU bagi mempromosi manfaat program SIPS.

Lampiran

Tiada Lampiran.