Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

24) SKIM BLUEPRINT KEMISKINAN & DANA USAHAWAN MIKRO SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Zamri Bin Mohd Zainuldin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Inisiatif tersebut adalah baik kerana mengeluarkan masyarakat daripada kepompong kemiskinan, namun 4 peruntukan bagi setiap DUN sahaja yang diluluskan. Bolehkah kerajaan menambah jumlah penerima inisiatif ini yang kian meningkat jumlah permohonannya?

    Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan merupakan salah satu inisiatif membasmi kemiskinan yang memberi fokus membantu meningkatkan taraf sosio ekonomi golongan sasar iaitu peniaga kecil yang berpendapatan bulanan seisi rumah RM3,000 ke bawah menerusi pemberian peralatan dan mesin mengikut perniagaan yang sedang mereka jalankan.

    Sehubungan dengan itu, untuk makluman Yang Berhormat Sungai Burong, program bantuan ini dilaksanakan mengikut daerah di mana borang permohonan perlu dikemukakan ke Pejabat Daerah dan Tanah untuk diproses dan disiasat sebelum dibawa masuk ke peringkat Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan. Oleh yang demikian, tiada pecahan peruntukan mengikut DUN dibuat kerana program ini adalah berdasarkan jumlah permohonan yang diterima oleh setiap Pejabat Daerah dan Tanah.

    Untuk makluman Yang Berhormat, bermula dari tahun 2008 sehingga kini peruntukan bagi program ini adalah sama iaitu sebanyak RM2 juta setahun. Jawatankuasa Tetap Pembasmian Kemiskinan mengambil maklum akan keperluan untuk meningkatkan peruntukan program ini berikutan pertambahan permohonan yang diterima serta kenaikan kos peralatan dan mesin.

    Program Dana Usahawan Mikro Selangor pula merupakan program khas anjuran Jawatankuasa Tetap Keusahawanan Negeri Selangor bagi membantu usahawan-usahawan di Negeri Selangor meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju.

    Pada tahun ini, Program Dana Usahawan Mikro Selangor telah dijenamakan kepada Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) dengan memperluas golongan sasar agar semua perusahaan di Negeri Selangor sama ada mikro, kecil dan sederhana layak untuk memohon DUMS. Pemberian dana ini juga merentasi semua sektor perusahaan termasuk sektor Industri Kreatif.

    Program bantuan ini juga dilaksanakan mengikut daerah di mana borang permohonan perlu dikemukakan ke Pejabat Daerah dan Tanah untuk diproses dan dinilai sebelum dibawa masuk ke peringkat Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan. Oleh yang demikian, tiada pecahan peruntukan mengikut DUN dibuat kerana program ini adalah berdasarkan jumlah permohonan yang diterima oleh setiap Pejabat Daerah dan Tanah.

    Untuk makluman Yang Berhormat, bermula dari tahun 2015 sehingga tahun 2023 peruntukan bagi program ini adalah sebanyak RM2,250,000.000 setahun. Walau bagaimanapun, peruntukan DUMS bagi tahun ini adalah sebanyak RM2 juta sahaja.

Lampiran

Tiada Lampiran.