Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 April 2010 hingga 14 April 2010
164) SKIM BIASISWA/PINJAMAN
Tahun: 2010
Sesi: 1
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Kerajaan Selangor memperuntukkan skim biasiswa/pinjaman istimewa Kerajaan tanpa dikenakan bunga. Sejauh manakah skim ini diketahui rakyat dan membuat pinjaman?
Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) telah ditubuhkan pada
tahun 1987 berpandukan kepada “State of Selangor Enactment No. 4 of 1949”
(Enakmen Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor 1949 (Pindaan 2001)).
Berdasarkan enakmen tersebut, peruntukan tahunan TKWBNS adalah di bawah
pembiayaan Kerajaan Negeri.
TKWBNS mempunyai dua (2) jenis tabung yang memberi kemudahan pinjaman
pelajaran kepada anak-anak Negeri Selangor dan mereka yang layak setelah
dipertimbangkan oleh Lembaga Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor
(LTKWBNS). Bentuk tabung pinjaman yang disediakan adalah seperti berikut:
(i) Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor
Tabung ini menyediakan kemudahan pinjaman pelajaran untuk pelajar-pelajar
yang menuntut di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara, sama ada IPT
Awam/ IPT Swasta (IPTA/ IPTS) dan IPT luar negara bagi pengajian di peringkat
Sijil/ Diploma/ Ijazah.
(ii) Pinjaman Pelajaran Tenaga Mahir (Fast Track) Negeri Selangor
Tabung ini menyediakan kemudahan pinjaman pelajaran kepada pelajar-pelajar
yang menuntut di IPTS bagi kursus-kursus yang berkaitan dengan bidang
teknikal dan kemahiran di peringkat Sijil.
Bagi memastikan maklumat berkaitan kemudahan skim pembiayaan pinjaman pelajaran
ini diketahui oleh rakyat, Urus setia LTKWBNS telah melaksanakan proses hebahan/
makluman apabila tawaran mula dibuka sebanyak dua (2) kali setahun melalui kaedah
seperti berikut:
(i) menyiarkan iklan tawaran Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor melalui
akhbar-akhbar utama tempatan berbahasa Melayu, Cina dan Tamil;
(ii) menyiarkan iklan tawaran Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor melalui
laman web rasmi Kerajaan Negeri Selangor, iaitu: www.selangor.gov.my;
(iii) mengemukakan surat hebahan/ makluman kepada IPT, sama ada IPTA atau
IPTS melalui pihak Hal Ehwal Pelajar masing-masing; dan
(iv) mengemukakan surat hebahan/ makluman kepada Jabatan/ Agensi di bawah
Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor serta semua Pusat Khidmat Masyarakat/
Pusat Khidmat DUN. -
Berapakah jumlah yang ditawarkan dan berapa ramai yang mendapat faedah darinya?
Pinjaman Pelajaran di bawah TKWBNS merupakan pinjaman tanpa faedah bertujuan
membantu pelajar-pelajar kelahiran Negeri Selangor, khususnya yang melanjutkan
pengajian di IPTA dan IPTS. Pinjaman pelajaran tersebut merupakan mekanisme
Kerajaan Negeri dalam memenuhi tanggungjawab sosial, terutamanya bagi
meningkatkan tahap pendidikan rakyat.
Sejak tahun 1988, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM82.8 juta untuk
membiayai TKWBNS, di mana sebanyak RM9 juta daripadanya merupakan caruman
kepada tabung Pinjaman Pelajaran Tenaga Mahir (Fast Track) Negeri Selangor yang
ditubuhkan semenjak tahun 1994. Bagi tahun 2010 pula, Kerajaan Negeri telah
memperuntukkan sejumlah RM8.1 juta bagi aktiviti biasiswa dan pinjaman pelajaran di
bawah TKWBNS.
Jumlah pelajar yang telah menerima kemudahan pembiayaan daripada TKWBNS
setakat 31 Disember 2009 adalah seramai 12,800 orang, melibatkan jumlah pinjaman
sebanyak RM104.2 juta. Pecahan pinjaman pelajaran yang telah ditawarkan mengikut
peringkat pengajian adalah seperti berikut:
(i) Pinjaman Pelajaran Negeri Selangor
Bil. Peringkat Pengajian Bil. Pelajar Amaun (juta)
1. Ijazah 3,999 RM54.5
2. Diploma 4,944 RM33.1
3. Sijil (IPTA) 889 RM5.1
Jumlah Keseluruhan 9,832 RM92.7
(ii) Pinjaman Pelajaran Tenaga Mahir (Fast Track) Negeri Selangor
Bil. Peringkat Pengajian Bil. Pelajar Amaun (juta)
1. Sijil (IPTS) 2,968 RM11.5 -
Sejauh manakah peminjam patuh membayar kembali pinjaman?
Setiap penerima Pinjaman Pelajaran Kerajaan Negeri Selangor di bawah TKWBNS
adalah bertanggungjawab untuk membuat pembayaran balik pinjaman pelajaran
berdasarkan jumlah keseluruhan pinjaman yang telah diterima. Tanggungjawab
peminjam dan penjamin-penjamin bagi melaksanakan bayaran balik Pinjaman Pelajaran
tersebut adalah sepertimana yang diperuntukkan menurut Fasal 3 dan 4 Perjanjian
Pinjaman Pelajaran yang telah ditandatangani oleh peminjam dan penjamin-penjamin
dengan pihak LTKWBNS.
Bayaran balik Pinjaman Pelajaran akan dimulakan selepas tempoh enam (6) bulan
pelajar menamatkan pengajian. Bayaran balik pinjaman perlu dibuat berdasarkan jadual
bayaran balik pinjaman secara bulanan yang ditetapkan oleh pihak LTKWBNS.
Peminjam yang gagal mematuhi jadual bayaran balik sepertimana yang ditetapkan akan
dikenakan tindakan oleh pihak LTKWBNS berdasarkan peruntukan Perjanjian Pinjaman
Pelajaran.
Bagi aktiviti kutipan bayaran balik pinjaman pelajaran pada tahun 2009, TKWBNS telah
mengutip jumlah pinjaman sebanyak RM4.99 juta. Bagi tahun 2010 pula, TKWBNS
mempunyai seramai 3,781 orang peminjam berstatus pembayar semasa dengan nilaian
kutipan berjumlah RM6.9 juta.
Tunggakan bayaran balik pinjaman setakat 31 Disember 2009 pula adalah sebanyak
RM9.09 juta yang melibatkan jumlah peminjam seramai 2,474 orang. Secara
keseluruhannya, jumlah tunggakan berkenaan telah berkurangan berbanding tahun
2008