Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
338) SKIM BANTUAN SEKOLAH
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Lwi Kian Keong
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri akan menetapkan setahun 2 kali untuk skim bantuan sekolah?
Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor diperkenalkan pada tahun 2009 adalah inisiatif daripada Kerajaan Negeri untuk membantu membaik pulih serta menambah baik infrastruktur sekolah kerajaan dan swasta di Negeri Selangor. Tujuan utama bantuan ini adalah untuk memberi untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif. Peruntukan yang terlibat adalah sebanyak RM26,500,000.00 (Ringgit Malaysia: Dua Puluh Enam Juta Lima Ratus Ribu Sahaja).
Permohonan bagi Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor dibuka setahun sekali secara atas talian (online) melalui Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) sepenuhnya bagi memudahkan urusan permohonan oleh pihak sekolah. Bagi tahun 2024, tempoh permohonan dibuka selama satu (1) bulan bermula pada 1 Ogos 2024 – 31 Ogos 2024. Hebahan mengenai Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor telah disebarluas melalui pemakluman kepada Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor, Pejabat Ahli-ahli Dewan Negeri dan Pejabat Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri untuk dimaklumkan kepada sekolah-sekolah di bawah seliaan dan dalam kawasan perkhidmatan masing-masing.
Justeru, Kerajaan Negeri akan kekal dengan praktis permohonan sedia ada iaitu setahun sekali bagi memastikan setiap permohonan yang diterima dapat diteliti dengan sebaiknya. Ini juga bagi memastikan sumbangan bantuan dapat diuruskan dengan teratur dan menyeluruh di dalam satu tempoh masa yang telah ditetapkan.