Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 28 Julai 2017 dan 31 Julai 2017 hingga 04 Ogos 2017

34) SKIM BANTUAN MAKANAN FOODSTAMP

Tahun: 2017

Sesi: 1

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah tanda aras penilaian ketepatan masa dan kualiti bekalan makanan oleh pembekal?

    Bagi tujuan melancarkan proses agihan barangan serta menjaga kualiti barangan yang dibekalkan, pihak Hijrah Selangor telah mengambil langkah proaktif dengan menyediakan jadual penghantaran bekalan barangan dan diberikan kepada petugas PKM sebagai makluman awal untuk menerima bekalan barangan yang dihantar sekurang-kurangnya dalam tempoh dua (2) minggu sebelum Hari Food Stamp, iaitu pada hari Jumaat minggu ketiga pada setiap bulan. Penyediaan jadual ini secara tidak langsung dapat memudahkan pihak PKM bersedia di pejabat masing-masing atau di lokasi program memandangkan terdapat PKM mengadakan majlis penyerahan bukan di pejabat PKM.

    Namun begitu, jadual penghantaran ini juga adalah tertakluk kepada persetujuan dan kelapangan PKM sendiri memandangkan terdapat PKM yang menjalankan majlis penyerahan bersama wakil rakyat setempat di lokasi dan hari selain ‘Hari Food Stamp’ yang telah ditetapkan.

  2. Berapakah bilangan dan siapa pembekal yang dilantik?

    Melalui keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 20/2016, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk melantik Hijrah Selangor sebagai pengendali yang bertanggungjawab membekal dan menghantar barangan makanan asas ke setiap PKM dengan baik. Pihak Hijrah juga akan memastikan barangan yang dibekalkan adalah pada harga jualan terkawal, mutu dan kualiti yang sama dengan pasaran semasa serta membuat penghantaran ke PKM masing-masing sekurang-kurangnya sehari sebelum ‘Hari Food Stamp’ yang telah ditetapkan.

  3. Apakah penambahbaikan nilai dan kaedah serahan bantuan makanan kepada penerima?

    Kerajaan Negeri telah menetapkan nilai bagi setiap set barangan makanan asas yang diterima oleh penerima bantuan adalah sebanyak RM50.00 bagi setiap 100 buah keluarga dari 55 buah DUN. Sebagaimana ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum, pihak Hijrah Selangor bertanggungjawab membuat penghantaran barangan bantuan makanan asas ke Pejabat PKM atau ke lokasi yang telah ditetapkan oleh pihak PKM dalam keadaan baik. Namun begitu, bagi kaedah penyerahan barangan kepada penerima bantuan makanan asas adalah dilaksanakan dan diselaraskan oleh Pejabat PKM masing-masing dengan pelbagai cara sama ada melalui majlis penyerahan secara rasmi oleh ADUN, atau penerima hadir ke Pejabat PKM untuk menebus barangan bantuan mahu pun atas inisiatif Pejabat PKM sendiri dengan menghantar barangan makanan asas ke kediaman penerima bantuan.

    Walau bagaimanapun, Pejabat PKM juga adalah digalakkan mempelbagaikan kaedah dan usaha menambahbaik penyerahan bantuan mengikut kesesuaian komuniti DUN masing-masing agar bantuan kebajikan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka.

Lampiran

Tiada Lampiran.