Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

26 Mac 2018 hingga 28 Mac 2018

46) SKIM BANTUAN KESIHATAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR

Tahun: 2018

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila kemukakan senarai lengkap skim-skim bantuan kesihatan yang ditawarkan kepada Rakyat Selangor.

    a) dan b)

     

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengambil peduli terhadap penjagaan kesihatan rakyat Negeri Selangor. Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Bantuan Rawatan Dialisis untuk membolehkan rakyat yang kurang berkemampuan mendapatkan rawatan dialisis di Pusat Hemodialisis/ hospital kerajaan atau swasta. Program ini telah diperkenalkan sejak tahun 2010 dan terus mendapat permohonan yang semakin meningkat dari tahun ke tahun di kalangan pesakit buah pinggang. Pada tahun 2018, sebanyak RM5 juta telah diperuntukan bagi membantu meringankan beban rawatan dialisis.

     

    Mereka yang berkelayakan akan menerima bantuan sehingga RM5,000.00 setahun. Pembayaran akan dibuat seara “one-off” kepada pihak hospital yang memberi rawatan. Syarat kelayakan bagi program ini adalah Rakyat Negeri Selangor atau telah bermastautin di Negeri Selangor melebihi 10 tahun dengan tahun dengan pengesahan serta pendapatan isi rumah sebanyak RM3,000.00 ke bawah. Bantuan Dialisis ini termasuk di dalam salah satu bantuan di dalam Program Bantuan Sihat Selangor (BSS).

     

    Program Bantuan Sihat Selangor (BSS) telah diperkenalkan bertujuan untuk membantu meringankan beban rakyat Negeri Selangor yang kurang berkemampuan dalam menjalani rawatan serta menjalani kehidupan yang lebih sihat. Bantuan kesihatan ini diberikan melalui dana Bantuan Sihat Selangor selaras dengan keprihatinan Kerajaan Negeri Selangor terhadap tahap kesihatan seluruh rakyat Selangor.

     

    Program Bantuan Sihat Selangor telah diperkenalkan sejak tahun 2010 dengan bantuan pembedahan katarak mata, pembedahan kecil dan lain-lain

     

    permohonan seperti pembelian kerusi roda, susu dan lampin pakai buang. Pada tahun 2014, Kerajaan Negeri Selangor telah menambah satu lagi bantuan iaitu pemasangan kaki palsu. Pada tahun 2018, sebanyak RM500,000.00 telah diperuntukkan untuk program BSS ini.

     

    Berikut adalah jumlah peruntukan yang telah diperuntukkan di bawah Program Bantuan Sihat Selangor sejak tahun 2010 – 2018 :

     

    TAHUN JUMLAH PERUNTUKAN (RM)
    2010 211,308.00
    2011 392,192.00
    2012 576,677.00
    2013 572,270.00
    2014 440,418.00
    2015 1,523,986.90
    2016 2,435,300.00
    2017 3,621,866.42
    2018 5,500,000.00
    JUMLAH 15,274,018.32

     

    Bermula 24 Januari 2017, Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan satu skim yang dinamakan sebagai Skim Peduli Sihat (SPS) iaitu Skim Perlindungan Perubatan dan Kesihatan asas (medical and healthcare coverage) kepada rakyat Kumpulan Bottom 40% (B40) sebagai sasaran.

     

    Skim Perlindungan Perubatan dan Kesihatan asas Negeri Selangor atau Skim Peduli Sihat (SPS) membolehkan golongan sasar iaitu Kumpulan B40 menerima rawatan kesihatan dan perubatan asas daripada klinik panel, yang terdiri dari klinik atau hospital swasta dengan kos tertentu yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri.

     

    Skim ini dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM125 juta pada tahun 2017. Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM20 juta bagi pelaksanaan program SPS. Sehingga 18 Mac 2018, sebanyak 320,647 Kad Peduli Sihat telah berdaftar dengan anggaran seramai 1,282,588 orang penerima manfaat. Terdapat 983 buah klinik panel yang telah berdaftar di seluruh negeri Selangor serta kawasan bersempanan dalam menjayakan pelaksanan program ini.

     

    Pada tahun 2018, Kerajaan Negeri Selangor menambahbaik pelaksanaan SPS dengan meluluskan peruntukan one-off sebanyak RM180.00 kepada semua pemegang Kad Peduli Sihat untuk mendapatkan suntikan vaksin pneumokokal, meningococcal, hepatitis B, influenza dan typhoid. Ini bermakna kelayakan bagi pemegang Kad Peduli Sihat telah dinaikkan daripada RM500.00 kepada RM700.00 bagi tahun 2018 bagi kategori keluarga dan dari RM200.00 kepada RM380.00 bagi kategori individu.

     

    Menyedari hakikat penyakit jantung merupakan pembunuh nombor satu negara, Kerajaan Negeri Selangor telah bekerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) bagi memberikan khidmat rawatan jantung secara percuma kepada golongan berpendapatan rendah mulai tahun 2018. Untuk maksud ini, Kerajaan Negeri Negeri dan PKNS telah menyediakan peruntukan RM10 juta untuk membiayai 500 pesakit jantung di kalangan rakyat Selangor.

     

    Program Skim Rawatan Jantung Negeri Selangor ini telah dilancarkan pada 26 Februari 2018 dan Kerajaan Negeri akan membiayai pesakit jantung yang layak untuk menjalani rawatan di IJN.

     

    Belanjawan Negeri Selangor tahun 2018 juga telah memperuntukan sebanyak RM3 juta bagi Program Rawatan Kanser. Program ini akan membantu pesakit kanser dalam menanggung kos sara hidup sebagai pesakit kanser. Kerajaan Negeri mensasarkan lebih 600 orang pesakit kanser akan mendapat manfaat di dalam program ini.

     

    Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sejumlah RM1 juta bagi pelaksanaan Program Kesihatan Mental di mana beberapa program khusus berkaitan kesihatan mental akan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang terpilih. Kesedaran awal seperti cara menghadapi tekanan perlulah diterapkan kepada masyarakat sebelum ianya berlarutan menjadi lebih parah. Program- program yang dilaksanakan ini dapat mengurangkan kadar penyakit mental di Negeri Selangor.

     

    Sebagai menghargai usaha penjawat awam negeri Selangor, Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Program Peduli Sihat Penjawat Awam (PSPA). Program ini merupakan satu program perlindungan skim insuran/ takaful berkelompok untuk penjawat awam sehingga Gred 44 di bawah pentadbiran SUK Selangor yang memberi manfaat kepada lebih 10,000 Pembantu Tadbir, Pekerja Rendah Awam, Anggota Penguatkuasa, Pengawal Keselamatan dan Pemandu.

     

    Skim ini akan dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri dengan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi tahun 2018. Skop perlindungan yang komprehensif terdiri daripada sumbangan khairat kematian, sumbangan hilang upaya kekal

     

    serta rawatan hospitaliti di hospital swasta berjumlah sehingga RM10,000.00 seorang setahun.

     

    Kerajaan Negeri turut mengambil peduli terhadap peningkatan kes demam denggi di Negeri Selangor. Atas dasar itu, sebanyak RM5 juta telah diperuntukkan bagi membuat aktiviti pencegahan dan kawalan di peringkat negeri. Pecahan utama peruntukan tersebut adalah bagi melantik Pest Controller Operator (PCO) di peringkat PBT bagi membantu usaha kawalan perebakan virus denggi terutama di kawasan hotspot.

  2. Sila kemukakan program-program berkaitan kesihatan yang telah dijalankan oleh Kerajaan Selangor dalam tempoh 2013-2017.

Lampiran

Tiada Lampiran.