Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

13 Julai 2020 - 16 Julai 2020

147) SKIM AIR DARUL EHSAN

Tahun: 2020

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah pemohon skim ini dan jumlah yang telah diluluskan sehingga kini?

    Permohonan pendaftaran Skim Air Darul Ehsan (SADE) sehingga 31 Disember 2019 adalah sebanyak 226,969. Dari jumlah ini, sebanyak 15,625 tidak dapat diproses pendaftarannya ke dalam Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) kerana sebab-sebab berikut:-

    1. Nombor kad pengenalan telah digunakan oleh pemohon lain;
    2. Nombor meter air telah digunakan oleh pemohon lain;
    3. Nombor telefon telah digunakan oleh pemohon lain; dan
    4. Maklumat permohonan yang tidak lengkap seperti tidak kemukakan nombor Kad Pengenalan, alamat e-mel, nombor akaun air, alamat kediaman/ premis dan maklumat pasangan.

     

    Selanjutnya, setelah semak silang dibuat ke atas 211,344 permohonan menggunakan data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kategori Bantuan Sara Hidup (BSH) bagi memastikan kesahihan permohonan berdasarkan kepada kelayakan jumlah pendapatan di bawah RM4,000.00, sebanyak 199,254 layak mendapat mendapat SADE dan 12,090 permohonan tidak layak kerana tidak memenuhi syarat pendapatan.

    Dengan mengambil kira penduduk rumah pangsa kos rendah dalam kategori meter pukal yang secara automatik layak mendapat air percuma di bawah Skim Air Darul Ehsan jumlah keseluruhan pengguna Negeri Selangor yang menikmati SADE adalah sebanyak 250,000 akaun.

  2. Nyatakan anggaran perbelanjaan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan skim ini.

    Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sebanyak RM35 juta bagi menampung pembiayaan Skim Air Darul Ehsan (SADE) untuk 250,000 pengguna.

  3. Bagaimanakah Kerajaan Negeri memastikan pemilik akaun berkelayakan di luar bandar yang terlepas maklumat juga menerima manfaat skim ini?

    Dalam usaha untuk memastikan tiada golongan sasar yang tertinggal dalam menikmati Skim Air Darul Ehsan (SADE) ini, Kerajaan Negeri telah membuka semula pendaftaran bermula pada 01 April 2020 kepada pemohon yang layak dan memenuhi syarat untuk membuat permohonan melalui pendaftaran sama ada secara atas talian melalui laman web Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) iaitu www.ssipr.selangor.gov.my atau secara manual mengisi Borang Permohonan Program IPR Skim Air Darul Ehsan. Pendaftaran kali kedua ini dibuka sepanjang tahun tetapi proses proses pengesahan pemohon yang layak melalui semakan silang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan bermula pada 01 Julai 2020 dan pemohon akan dimaklumkan berkenaan status permohonan mereka selewat-lewatnya pada pertengahan bulan Ogos 2020.

    Pada masa yang sama, pihak Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) terus melaksanakan kempen dengan lebih aktif dan efisien dengan menyediakan dan mengedarkan lebih banyak banner, bunting dan borang kepada Ketua Kampung dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk dipamerkan dan diedarkan di kawasan stratergik dalam kawasan kampung dan PBT berkaitan agar pemakluman berhubung SADE sampai kepada pengguna dan memastikan pengguna yang layak mendapat manfaat SADE.  Kerajaan Negeri sentiasa terbuka untuk meneliti dan memperhalusi mekanisme yang digunakan di dalam melaksanakan penjajaran semula ini bagi memastikan golongan sasar khususnya golongan berpendapatan rendah tidak terjejas.

Lampiran

Tiada Lampiran.