Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
185) SKIM AIR DARUL EHSAN
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bolehkah Kerajaan Negeri memberikan laporan terkini berkenaan keberkesanan pelaksanaan Skim Air Darul Ehsan dalam membantu keluarga berpendapatan rendah mendapatkan bekalan air percuma?
Skim Air Darul Ehsan (SADE) yang telah dilaksanakan sejak 2019 dapat membantu meringankan beban rakyat di negeri khususnya kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan. Sehingga 30 September 2024 seramai 318,917 penerima telah mendapat manfaat daripada pelaksanaan SADE. Penerima SADE memperolehi sebanyak 20m3 air percuma yang bersamaan dengan RM13 sebulan yang sedikit sebanyak mampu mengurangkan beban perbelanjaan bulanan isi rumah kumpulan sasar.
Pemberian air percuma ini dinikmati oleh warganegara Malaysia yang berpendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah yang menetap di Negeri Selangor dan premis yang diduduki tersebut juga berada di dalam Negeri Selangor. Melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), tempoh penerimaan SADE ini telah dilanjutkan selama lima (5) tahun lagi bermula daripada 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2029 bagi membantu meringankan beban rakyat di Negeri Selangor terutamanya di dalam kalangan B40.
-
Apakah mekanisme yang digunakan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan penerima Skim Air Darul Ehsan benar-benar terdiri daripada golongan yang layak?
Skim Air Darul Ehsan (SADE) yang dilancarkan oleh Kerajaan Negeri pada 27 September 2019, telah dimanfaatkan oleh rakyat Negeri Selangor yang berada di dalam golongan sasar terutamanya yang berada dalam kumpulan B40. Pemberian SADE adalah tertakluk kepada syarat-syarat berikut:
- Pemohon merupakan warganegara Malaysia dan menetap di Negeri Selangor;
- Pendapatan bulanan isi rumah adalah RM5,000 dan ke bawah (suami dan isteri, termasuk pendapatan pasangan bukan warganegara, tiada pasangan atau bujang);
- Premis kediaman meter individu; dan
- Pemohon hanya layak memohon untuk satu akaun/premis sahaja.
Bagi membolehkan rakyat Negeri Selangor yang berkelayakan untuk menerima bantuan Air Percuma sehingga 20m3 melalui skim SADE ini, permohonan perlu dibuat secara atas talian (online) melalui Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) atau melalui Borang Permohonan Manual yang boleh di dapati di Laman Web Pengurusan Air Selangor dan Kaunter Perkhidmatan di sepuluh (10) Wilayah Pengurusan Air Selangor.
Para penerima SADE yang memenuhi syarat permohonan akan melalui proses ‘semak silang’ kelayakan sebelum permohonan tersebut diluluskan atau ditolak setiap tempoh 3 bulan permohonan (4 kali setahun yang dinamakan Siri Pelaksanaan Skim Air Darul Ehsan 2022-2024).
Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) ke 9/2020 yang diadakan pada 11 Mac 2020 telah memutuskan agar pengguna akaun meter pukal dalam kategori pangsapuri kos rendah diberikan 20m3 air percuma secara automatik mengikut kaedah sedia ada yang melibatkan JMB/MC serta Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) di bawah SADE. Senarai pengguna akaun meter pukal dalam kategori pangsapuri kos rendah ini adalah berdasarkan senarai yang dikemukakan dan telah disemak oleh pihak LPHS.
Kerajaan Negeri sentiasa terbuka meneliti cara dan kaedah yang terbaik bagi memperluaskan syarat kelayakan sedia ada supaya skim air percuma ini dapat dinikmati oleh golongan yang benar-benar berkelayakan.
-
Adakah Kerajaan Negeri mempunyai inisiatif jangka panjang untuk mengurangkan pembaziran air dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan penggunaan air yang bijak di bawah Skim Air Darul Ehsan?
Melalui Skim Air Darul Ehsan (SADE), setiap penerima SADE akan memperolehi bantuan pemberian Air Percuma daripada Kerajaan Negeri Selangor sebanyak 20m3 sebulan bagi setiap isi rumah yang memenuhi syarat-syarat kelayakan dan diluluskan permohonannya. Walau bagaimanapun, pengiraan bil air adalah berdasarkan kepada kadar penggunaan air oleh pengguna. Sekiranya penerima SADE menggunakan air melebihi kuota 20m3 sebulan yang telah diberikan, penerima SADE perlu menanggung bil yang dicas di atas penggunaan lebihan air tersebut.
Pemberian air percuma dengan kuota 20m3 ini juga merupakan salah satu kaedah untuk menggalakkan penerima SADE berjimat-cermat dalam penggunaan air. Penerima SADE harus merancang penggunaan air dipremis masing-masing untuk memastikan penggunaan air secara berhemah bagi mengelakkan pembaziran air.
Selain itu, Pengurusan Air Selangor telah melaksanakan pelbagai Program Kesedaran Penjimatan Air dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan untuk menggunakan air secara berhemah. Program-program ini telah dijalankan secara maya dan fizikal dan diadakan dipelbagai tempat seperti kawasan tumpuan awam, sekolah dan expo serta turut dilaksanakan dengan kerjasama pihak Kerajaan dan swasta dalam meberikan pendidikan dan kesedaran penjimatan air kepada masyarakat. Berikut adalah pecahan bilangan Program Kesedaran Penjimatan Air yang telah dilaksanakan oleh pihak Pengurusan Air Selangor dari tahun 2022 hingga 2024:
Tahun Bilangan Program 2022 21 2023 27 2024 40