Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

15) SITUASI COVID-19 DAN CACAR MONYET

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Ean Yong Hian Wah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini mengenai penyakit COVID-19 dan Cacar Monyet di Selangor?

    Secara umumnya, situasi COVID-19 di Negeri Selangor berada di paras yang masih terkawal. Jumlah kes mingguan yang dicatatkan di Negeri Selangor mula menunjukkan peningkatan pada minggu epid 41 hingga minggu epid 44 iaitu 4,000 kes seminggu sehingga 10,000 kes seminggu namun menunjukkan penurunan kes kepada 9,000 kes seminggu pada minggu epid 45 2022. Majoriti kes yang dicatatkan adalah kes yang mempunyai simptom ringan (kategori 2) iaitu sebanyak 94.4%. Kes-kes ini hanya perlu menjalani isolasi di rumah dan mengambil ubat-ubatan bagi mengurangkan simptom tanpa perlu menjalani perawatan di hospital. Kematian akibat COVID-19 juga berada di paras yang terkawal. Purata kematian disebabkan COVID-19 setiap minggu di Negeri Selangor adalah enam (6) kematian / minggu sejak minggu epid ke 41 sehingga minggu epid ke 45 2022. Kadar kematian berbanding jumlah kes yang dicatatkan di Negeri Selangor adalah pada kadar 0.1% setiap minggu, menepati sasaran yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (sasaran – 0.1% atau kurang kematian akibat COVID-19 berbanding jumlah kes mingguan).

    Manakala bagi penyakit Cacar Monyet di Negeri Selangor, sehingga kini Negeri Selangor belum mencatatkan apa-apa kes confirmed Monkey Pox.

  2. Apakah pelan tindakan terkini Kerajaan Negeri untuk mencegah dua jenis penyakit ini?

    Di antara pelan tindakan terkini Kerajaan untuk mencegah dua jenis penyakit ini ialah:

    1. COVID-19

    Mempertingkat usaha pendidikan kesihatan di kalangan masyarakat awam berkenaan kepentingan amalan TRIIS (test, report, isolate, inform, seek treatment), sentiasa amalkan strategi keselamatan dan kesihatan kendiri, serta mengambil suntikan dos penggalak. JKN Selangor juga masih terus memantau situasi COVID-19 secara terperinci terutamanya berkaitan kadar kemasukan ke hospital, penggunaan ICU serta kematian sebagai strategi persediaan awal sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes seperti yang berlaku ketika gelombang Delta dan Omicron.

    1. MONKEY POX

    Meneruskan pemantauan dan aktiviti pengesanan kes-kes disyaki melalui peringatan-peringatan kepada pengamal perubatan kerajaan dan swasta. Peringatan ini adalah agar setiap kes yang disyaki Monkey Pox segera di notifikasi kepada pejabat-pejabat kesihatan daerah bagi tujuan siasatan dan aktiviti kawalan dan pencegahan, selaras dengan yang termaktub di bawah Akta 342.

  3. Apakah cadangan yang disyorkan kepada rakyat?

    Cadangan yang disyorkan ialah terus dan sentiasa mengamalkan prinsip-prinsip keselamatan dan kesihatan kendiri seperti tidak keluar rumah dan segera mendapatkan rawatan sekiranya bergejala, mengamalkan pemakaian pelitup muka di tempat-tempat sesak dan mendapatkan dos penggalak sekiranya belum berbuat demikian.

Lampiran

Tiada Lampiran.