Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
30 Oktober 2020 - 12 November 2020
40) SISWAZAH MENGANGGUR DI SELANGOR
Tahun: 2020
Sesi: 3
Isu: Pendidikan
Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapa ramai mengikut bangsa, jantina umur jumlah dan bidang lulusan setiap tahun sejak 2008?
Jawapan a), b) dan c) bersekali
Berdasarkan Statistik Siswazah yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan siswazah di negeri Selangor pada 2019 adalah berjumlah 1,651.3 ribu orang yang mana meliputi 31.2 peratus daripada jumlah siswazah di Malaysia. Siswazah menganggur di Selangor adalah seramai 42.7 ribu orang dengan kadar 3.0 peratus.
Pada 2019, bilangan siswazah lelaki di Selangor adalah 801.4 ribu orang meliputi 48.5 peratus manakala selebihnya merupakan siswazah perempuan (849.9 ribu orang). Bilangan penganggur siswazah lelaki di Selangor adalah seramai 22.2 ribu orang manakala bilangan penganggur siswazah perempuan seramai 20.5 ribu orang.
Maklumat tambahan:
Jadual 1: Statistik utama siswazah, Malaysia dan Selangor, 2016-2019
Jadual 2: Bilangan siswazah, Malaysia, 2016-2019
Konsep Asas Statistik SiswazahKONSEP ASAS STATISTIK SISWAZAH
1. Siswazah merujuk kepada individu berumur 15 tahun dan lebih yang memiliki sijil tertinggi yang diperoleh daripada universiti, kolej, politeknik, badan yang diiktiraf atau setaraf, dengan tempoh pengajian sekurang-kurangnya dua tahun. Siswazah dikelaskan kepada dua kategori iaitu siswazah yang memiliki diploma dan ijazah.
2. Tenaga buruh siswazah merujuk kepada siswazah berumur 15 tahun dan lebih sama ada bekerja atau menganggur.
3. Siswazah bekerja merujuk kepada siswazah yang bekerja sekurang-kurangnya sejam semasa minggu rujukan untuk mendapatkan upah, keuntungan atau keuntungan keluarga sama ada sebagai majikan, pekerja, bekerja sendiri atau pekerja keluarga tanpa gaji. Mereka juga dianggap bekerja jika:
• tidak bekerja semasa minggu rujukan disebabkan sakit, kecederaan, tiada upaya, cuaca buruk, bercuti, pertelingkahan buruh dan sebab-sebab sosial atau keagamaan tetapi mempunyai pekerjaan, ladang, perusahaan atau perusahaan keluarga lain untuk kembali bekerja;
• tidak bekerja buat sementara waktu tetapi bergaji dan pasti akan dipanggil bekerja semula;
• bekerja kurang daripada 30 jam semasa minggu rujukan disebabkan bentuk kerja atau disebabkan kurang kerja serta sanggup menerima tambahan bilangan jam bekerja. Kumpulan ini merupakan guna tenaga tidak penuh. Mereka yang bekerja lebih daripada 30 jam semasa minggu rujukan merupakan guna tenaga penuh.4. Siswazah menganggur adalah mereka yang tidak bekerja semasa minggu rujukan.
5. Siswazah yang tidak dikelaskan sebagai bekerja atau menganggur dikategorikan sebagai siswazah luar tenaga buruh. Kategori ini terdiri daripada suri rumah, pelajar (termasuk mereka yang akan melanjutkan pelajaran), mereka yang telah bersara, tidak berkeupayaan dan mereka yang tidak berminat untuk mencari pekerjaan.
6. Kadar penyertaan tenaga buruh siswazah ditakrifkan sebagai perkadaran siswazah dalam tenaga buruh kepada jumlah siswazah umur bekerja (15 tahun dan lebih).
7. Kadar pengangguran siswazah ialah perkadaran siswazah menganggur kepada bilangan siswazah dalam tenaga buruh. Kadar ini mengukur peratus siswazah di dalam tenaga buruh yang tidak bekerja.
8. Kumpulan etnik dikategorikan seperti berikut:
i. Bumiputera
ii. Cina
iii. India
iv. Lain-lain (termasuk etnik lain dan penduduk bukan warganegara Malaysia)9. Buat masa ini, tiada data khusus bagi siswazah telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program-program yang diadakan oleh Kerajaan Negeri sejak 2008.
10. Dalam mengendalikan krisis kesihatan awam global berikutan penularan wabak COVID-19, peningkatan kadar pengangguran merupakan masalah yang membimbangkan khususnya di kalangan siswazah. Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor menyedari isu pengangguran ini dan telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Program Karnival Kerjaya – Selangor Mega Job Fair pada 3 dan 4 Oktober 2020 yang lalu di Shah Alam Convention Centre, Shah Alam. Pelaksanaan Program Selangor Mega Job Fair semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini telah dirancang dengan mengikut Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) Majlis Keselamatan Negeri dan telah mendapat persetujuan oleh Jawatankuasa Selangor Task Force COVID-19 (STFC). Sebanyak 60 majikan telah terpilih untuk menyertai karnival kerjaya ini dengan 6,832 jumlah kekosongan jawatan. Jumlah pencari kerja yang telah membuat pra-pendaftaran adalah seramai 9,969 orang. Namun begitu, Selangor Mega Job Fair ini terpaksa ditunda berikutan peningkatan jumlah penularan COVID-19 pada ketika itu. Program Selangor Job Fair ini akan dilaksanakan semula secara tertutup pada November 2020 di empat (4) daerah iaitu daerah Petaling, Kuala Selangor, Gombak dan Hulu Langat.
Kerajaan Negeri Selangor juga mempunyai jalinan kerjasama dengan pihak JobsMalaysia di mana laman web JobsMalaysia berfungsi sebagai padanan dan carian pekerjaan atas talian bagi seluruh rakyat Malaysia. Pencari kerja khususnya graduan boleh mendaftar di laman web www.jobsmalaysia.gov.my untuk mencari pekerjaan semasa pasca COVID-19 dan mendapat notifikasi padanan pekerjaan melalui emel yang telah didaftarkan secara percuma.
Selain itu, Kerajaan Negeri Selangor telah meperkenalkan inisiatif Roda Darul Ehsan (Ride) dengan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi meraikan penglibatan orang muda dalam ekonomi gig serta bakal memperkasakan lebih ramai anak muda Selangor berumur 17 hingga 30 tahun. Inisiatif ini boleh membantu hampir 3,000 orang muda Selangor dengan subsidi Lesen Memandu B2 secara percuma dan menjana peluang sumber pendapatan buat diri sendiri serta keluarga melalui perkhidmatan penghantaran.
-
Berapa ramai siswazah telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program-program yang diadakan oleh Kerajaan Negeri sejak 2008?
Jawapan a), b) dan c) bersekali
-
Apakah rancangan yang sedang dan yang akan diadakan (jika ada) bagi menangani masalah pengangguran di kalangan siswazah?
Jawapan a), b) dan c) bersekali