Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014
252) SISTEM SALIRAN DI KAWASAN PERINDUSTRIAN
Tahun: 2014
Sesi: 3
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Datuk Mat Nadzari Bin Ahmad Dahlan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk memastikan sistem saliran di kawasan perindustrian sempurna dan bersesuaian?
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor akan mengenalpasti kawasan-kawasan yang selalu mengalami banjir setiap kali berlakunya hujan lebat terutamanya di musim tengkujuh. Jabatan Pengairan dan Saliran akan melantik perunding untuk membuat kajian serta rekabentuk terperinci yang melibatkan sistem saliran dalaman serta sistem saliran utama
yang melibatkan sungai-sungai. Ini termasuk membina rumah-rumah pam,
saliran, longkang-longkang konkrit dan melebar serta mendalamkan sungai-sungai utama. Kajian yang dibuat meliputi kawasan-kawasan industri yang berisiko banjir. Pihak Berkuasa Tempatan akan menyediakan pelan perparitan di dalam kawasan industri yang akan menghubungkan kepada sistem saliran utama yang telah disediakan oleh JPS. Sebagai contoh, pihak JPS telah menyiapkan Kajian Induk Sistem Saliran Pekan Sijangkang pada tahun 2013 dan Tender Fasa 1 Sistem Saliran yang melibatkan sebahagian kawasan perindustrian di Pekan Sijangkang telah dipanggil pada Oktober 2014 dan sedang dalam peringkat penilaian.
-
Adakah Kerajaan Negeri melakukan pemantauan kepada pemantauan kepada sistem saliran di kawasan perindustrian?
Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan dan Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor sentiasa memantau sistem saliran dari segi keberkesanannya termasuk penyelenggaraan terhadap sistem perparitan di dalam kawasan industri untuk mengelakkan sebarang kejadian banjir. Perkara-perkara berkaitan banjir juga ada dibincangkan di dalam Mesyuarat Penyelarasan Bagi Cadangan Projek Pembangunan Di Negeri Selangor Darul Ehsan – Pelaburan Tempatan yang diadakan setiap bulan, dipengerusikan oleh Y.Bhg. En Hasan Azhari bin Hj Idris; Ketua Pegawai Eksekutif Selangor State Investment Centre (SSIC).