Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

153) SISTEM SALIRAN DAN PERPARITAN JKR, JPS, PBT, PDT DAN LAIN-LAIN

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah penyelarasan inventori berkaitan bidang kuasa dan infrastruktur seperti jalan, longkang dan projek-projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) dan agensi-agensi lain telah selesai dilakukan?

    Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam sedang dalam proses pengumpulan dan seterusnya penentuan pemilikan inventori infrastruktur seperti jalan, longkang dan parit supaya penyeragaman kerja terutama dari segi skop penyelenggaraan jalan dan perparitan di bawah agensi/jabatan lebih terancang dan sistematik. Dalam hal ini juga, pihak Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) dalam proses untuk menyelaras inventori utiliti bawah tanah yang berada di koridor jalan. Utiliti tersebut adalah paip air, telekomunikasi, paip gas, kabel TNB dan juga pembentungan. Maklumat berkaitan utiliti akan di simpan dalam pangkalan data supaya data tersebut mudah dicapai pada masa akan datang.

     

    Selain daripada perkara yang dinyatakan di atas, Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan aktiviti turun padang ke setiap daerah dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memberi fokus kepada isu jalan dan banjir yang berlaku di daerah serta mengenal pasti penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu-isu berkenaan.

  2. Adakah sebarang perancangan untuk mencipta satu aplikasi pintar bagi memudahkan urusan terutamanya melibatkan aduan?

    Kerajaan Negeri sangat mengambil berat terhadap setiap aduan daripada rakyat. Penambahbaikan dari segi aspek pemantauan infrastruktur termasuk mewujudkan inventori lengkap akan diselaraskan dan dipantau dengan setiap agensi. Kerajaan Negeri melalui Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) menerusi entiti SSDU Innovations Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat milikan penuh Kerajaan Negeri telah mewujudkan satu sistem aduan melalui aplikasi Intelligent Respond Selangor (IRS) yang berfungsi untuk menyalurkan aduan pengguna jalan raya dengan hanya menggunakan telefon pintar melalui aplikasi

     

    Dalam masa yang terdekat ini, Kerajaan Negeri akan melaksanakan sistem bersepadu maklumat jalan raya (Integrated Road Information System) yang akan mengintegrasikan sistem sedia ada seperti Marris Online, Road Asset Management dan Maintenance System (RAMMS), Sistem Pengurusan Aset Jalan (SPAJa), Aplikasi Sistem Pemantauan Potholes (ASaPP) dan sistem bersepadu ini akan dipantau oleh Smart Selangor Intelligent Operations Centre (SIOC).

     

    Bagi aduan mengenai banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor menggunakan Sistem Pengaduan Aduan Awam (SISPAA) bagi pengurusan aduan awam. Penyelesaian/maklumat aduan melalui sistem ini perlu dibuat dalam tempoh 15 hari bekerja dan dipantau oleh Bahagian Korporat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan juga JPS.

Lampiran

Tiada Lampiran.