Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

242) Sistem Saliran Dan Perparitan JKR, JPS, PBT, PDT DAN LAIN-LAIN

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Puan Dr. Daroyah Binti Alwi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah penyelarasan inventori berkaitan bidang kuasa dan infrastruktur seperti jalan, longkang dan projek-projek yang dilaksanakan oleh (JKR), (JPS), (PBT), (PTD) dan agensi-agensi lain telah selesai dilakukan?

    Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam sedang dalam proses pengumpulan dan seterusnya penentuan pemilikan inventori infrastruktur seperti jalan, longkang dan parit supaya penyeragaman kerja terutama dari segi skop penyelenggaraan jalan dan perparitan di bawah agensi/jabatan lebih terancang dan sistematik. Bagi tujuan ini, Kerajaan Negeri di dalam perancangan untuk melantik konsultan bagi meyelaras data-data inventori dalam bentuk sistem maklumat geografi (GIS) yang akan diintegrasikan dalam sistem geosmart di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

    Selain daripada perkara yang dinyatakan di atas, Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan aktiviti turun padang ke setiap daerah dan juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk memberi fokus kepada isu jalan dan banjir yang berlaku di daerah serta mengenal pasti penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu-isu berkenaan.

  2. Adakah sebarang perancangan untuk mencipta satu aplikasi pintar bagi memudahkan urusan terutamanya melibatkan aduan?

    Kerajaan Negeri sangat mengambil berat terhadap setiap aduan daripada rakyat. Penambahbaikan dari segi aspek pemantauan infrastruktur termasuk mewujudkan inventori lengkap akan diselaraskan dan dipantau dengan setiap agensi. Kerajaan Negeri melalui Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) menerusi entiti SSDU Innovations Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat milikan penuh Kerajaan Negeri telah mewujudkan satu sistem aduan melalui aplikasi Intelligent Respond Selangor (IRS) yang berfungsi untuk menyalurkan aduan pengguna jalan raya dengan hanya menggunakan telefon pintar melalui aplikasi

    Dalam masa yang terdekat ini, Kerajaan Negeri akan melaksanakan sistem bersepadu maklumat jalan raya (Integrated Road Information System) yang akan mengintegrasikan sistem sedia ada seperti Marris Online, Road Asset Management dan Maintenance System (RAMMS), Sistem Pengurusan Aset Jalan (SPAJa), Aplikasi Sistem Pemantauan Potholes (ASaPP) dan ianya akan dipantau oleh Smart Selangor Intelligent Operations Centre (SIOC).

    Bagi aduan mengenai banjir, JPS Selangor menggunakan Sistem Pengaduan Aduan Awam (SISPAA) bagi pengurusan aduan awam. Penyelesaian/maklumat aduan melalui sistem ini perlu dibuat dalam tempoh 15 hari bekerja dan dipantau oleh Bahagian Korporat SUK dan juga JPS.

Lampiran

Tiada Lampiran.