Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022
14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)
248) SISTEM SALIRAN DAN PERPARITAN
Tahun: 2022
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah wang caruman parit tahunan dan penggunaannya?
Jumlah kutipan Caruman Parit sejak 2011 sehingga 28 Februari 2022 adalah sebanyak RM258,862,304.57, Manakala, jumlah perbelanjaan adalah sebanyak RM187,274,909.52. Laporan terperinci adalah seperti berikut:-
Akaun Amanah Caruman Parit ini merupakan akaun wang caruman yang dikutip daripada pemilik tanah / pemaju setelah permohonan tukar syarat tanah dan pemberimilikan diluluskan oleh Pentadbir Tanah dan Daerah. Pemakaian pengenaan Caruman Parit adalah dibuat ke atas permohonan pelupusan secara pemberimilikan tanah untuk semua kategori tanah samada bangunan (kediaman / perniagaan), industri atau pertanian serta permohonan pengubahan kategori dan syarat nyata tanah samada bangunan (kediaman / perniagaan), industri termasuk rizab melayu. Ianya ditubuhkan bagi membolehkan Kerajaan Negeri Selangor membiayai kerja-kerja penaiktarafan sistem saliran, kejuruteraan sungai, tebatan banjir, hidrologi, ramalan banjir dan kerjakerja lain yang berkaitan.
-
Adakah kajian perezaban parit dan sistem saliran di negeri Selangor telah dilakukan?
Beberapa siri kajian ke atas perizaban dan penaiktarafan sistem saliran sedang dijalankan oleh JPS bagi mengurangkan risiko masalah banjir terhadap kerosakan struktur bangunan dan keperluan komuniti di Negeri Selangor. Kajian yang sedang dijalankan merangkumi semua daerah di Negeri Selangor dan mengutamakan peningkatan perlindungan (berdasarkan Purata Selang Ulangan 200 ARI) dan ianya berdasarkan kepada taburan hujan pada tahun 2021 di kawasan yang terlibat. Laporan kajian tersebut akan dirujuk sebagai parameter bagi penyediaan pelan induk dan reka bentuk terperinci sistem saliran di kawasan sekitar.
-
Apakah perancangan Kerajaan Negeri di dalam usaha mempertingkatkan lagi penyelenggaraan sistem saliran di negeri Selangor?
Kerajaan Negeri Selangor melalui JPS akan membuat penyelenggaraan sistem saliran di bawah seliaan JPS dengan lebih kerap.