Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014
286) SISTEM PERPARITAN
Tahun: 2014
Sesi: 3
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan kerajaan negeri untuk memastikan sistem perparitan di Kampung Delek di naiktarafkan agar kejadian banjir besar boleh di elakkan?
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Selangor sentiasa memastikan sistem perparitan khususnya di Daerah Klang dalam keadaan baik dan dapat mengalirkan air dengan lancar. Kejadian banjir besar yang berlaku di dalam kawasan Kampung Delek adalah disebabkan oleh sistem perparitan yang tidak mampu menampung kapasiti air yang banyak akibat daripada pertambahan kawasan tidak telap air. Di samping itu terdapat lintasan-lintasan kecil yang menghalang aliran air yang melalui parit-parit dan keluar ke outlet
Memandangkan Kampung Delek berada di bawah seliaan dan tanggungjawab pihak PBT, jabatan ini mengesyorkan semua parit di dalam Kampung Delek perlu dinaiktaraf dan menggantikan lintasan-lintasan yang berada di sepanjang parit bagi mengatasi masalah banjir dari berlaku sekali lagi.
-
Dengan mengambil kira Kampung Delek/Sg Udang dikelilingi oleh Sg. Klang, apakah ada pelan holistik mitigasi banjir?
Secara umumnya, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Selangor telah menyediakan pelan mitigasi banjir secara menyeluruh di dalam Daerah Klang. Pelan mitigasi tersebut diadakan bertujuan bagi mengenal pasti lokasi mudah dinaiki air dan terancam dengan masalah banjir. Beberapa langkah pencegahan dan mitigasi untuk jangka pendek dan panjang turut dirancangkan bagi mengelak atau mengurangkan impak bencana banjir yang berlaku khususnya di Kampung Delek/Sungai Udang. Antara pelan mitigasi banjir yang dilaksanakan adalah seperti berikut :
- Pembinaan benteng sungai bagi mengelakkan air pasang memasuki Delek/Kg. Sg. Udang
- Kerja-kerja penyelenggaraan parit sentiasa dilaksanakan secara berkala
- Pemantauan dan pemeriksaan ke atas sistem perparitan di dalam Kampung Delek/Sungai Udang sentiasa dijalankan bagi memastikan kelancaran aliran air.
- Pembersihan kolam-kolam takungan