Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
231) SISTEM PERPAIPAN USANG
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Lai Nyuk Lan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Tekanan air di Dun Sungai Pelek semakin rendah, pihak SYABAS bimbang kebocoran paip menjadi punca utama kerana sistem perpaipan di Dun Sungai Pelek amat usang. Apakah tindakan Kerajaan Negeri dalam menyelesaikan masalah ini?
Melalui Perjanjian Konsesi yang telah ditandatangani di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Selangor dan SYABAS, berkuat kuasa pada 01 Januari 2005, semua aset bekalan air telah diserahkan untuk dikendalikan oleh SYABAS. Bermula dari tarikh tersebut, SYABAS adalah satu-satunya pihak tunggal yang telah diberikan kuasa untuk mengendalikan, menyelenggarakan dan mengoperasikan semua aset air di Negeri Selangor, wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sebagai operator tunggal, kawalan tekanan air adalah di bawah operasi SYABAS. Semua data dan maklumat tekanan air dan meter yang berkenaan dikawal sepenuhnya SYABAS. Sepanjang tempoh 2008 – 2013, setiap kali berlakunya gangguan bekalan air, SYABAS akan menuding jari kepada Kerajaan Negeri Selangor kerana isu ketidakcukupan air.
Sebagai operator agihan tunggal juga, SYABAS telah dipertanggungjawabkan untuk membuat meneliti semula semua sistem agihan termasuk paip perhubungan yang berusia lebih 50 tahun termasuk paip-paip usang. Cadangan penukaran paip perhubungan berusia lebih 50 tahun memang telah ada di dalam cadangan kerja-kerja pembangunan yang akan dilaksanakan oleh SYABAS menggunakan peruntukan CAPEX.
Hakikat sebenar yang berlaku, sebagai operator SYABAS telah tidak kompeten dalam melaksanakan tanggung jawab untuk membekalkan air kepada pengguna. SYABAS mendesak supaya sumber air ditambah ke dalam sistem agihan, sedangkan SYABAS tidak pernah mengakui kelemahan dalam menangani masalah Air Tidak Berhasil (NRW). Kejadian paip pecah dan paip bocor yang tidak terkawal telah menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air kepada pengguna.
Justeru itu, melihat kepada kegagalan SYABAS sebagai operator bekalan air tunggal, Kerajaan Negeri Selangor telah berusaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor sebagai penyelesaian jangka panjang ke atas semua masalah operasi yang dihadapi oleh seluruh rakyat Negeri Selangor termasuk penduduk di DUN Sg Pelek. Namun usaha Kerajaan Negeri itu belum mendapat sokongan penuh dari Kerajaan Persekutuan walaupun Kerajaan Persekutuan menyedari akan kegagalan SYABAS tersebut. Kerajaan Negeri Selangor telah berusaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor sebagai penyelesaian jangka panjang ke atas semua masalah operasi yang dihadapi oleh seluruh rakyat Negeri Selangor.
Di bawah Model baru itu, Kerajaan Negeri Selangor boleh menyediakan dasar bagi memastikan paip-paip perhubungan yang berusia lebih 50 tahun akan ditukar secara berfasa setelah mendapat kelulusan dari SPAN.