Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

7) SISTEM PENTADBIRAN PEMAJU

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bilakah Sistem Pentadbiran Pemaju dilaksanakan dan bagaimana ianya memantau prestasi pemaju di Selangor termasuk aspek keselamatan pekerja?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri Selangor hanya memperkenalkan Sistem Pendaftaran Pemaju (SPEM) pada tahun 2005 berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 16 September 2004 yang mengarahkan semua pemajuan dan pembangunan yang dijalankan di Negeri Selangor hendaklah berdaftar dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

    Pelaksanaan pendaftaran pemaju dilaksanakan melalui Surat Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan (Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan) UPEN: SPBT Bil. 6/2007 bertarikh 02 Ogos 2007.

    Setiap pemaju diwajibkan untuk menghantar laporan kemajuan kerja setiap enam (6) bulan selepas pendaftaran dibuat kepada LPHS bagi memantau perkembangan kemajuan projek bagi memastikan projek siap mengikut jadual dan tempoh masa yang ditetapkan serta mengenal pasti projek yang lewat serta berpotensi untuk terbengkalai.

  2. Apakah tindakan undang-undang terhadap syarikat-syarikat pembinaan dan kontraktor yang melanggar undang-undang keselamatan pekerja berikutan kematian orang awam di Bukit Bintang baru-baru ini?

    Untuk makluman Yang Berhormat juga, sebarang aspek keselamatan syarikat-syarikat pembinaan dan kontraktor yang melanggar undang-undang keselamatan pekerja adalah di bawah bidang kuasa pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan juga pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Kedua-dua pihak tersebut bertanggungjawab dalam memastikan setiap syarikat-syarikat pembinaan dan kontraktor mematuhi semua garis panduan yang telah ditetapkan dan akan mengambil tindakan undang-undang mengikut akta sedia ada bagi mana-mana syarikat pembinaan dan kontraktor yang tidak mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.