Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
117) SISTEM PENGURUSAN SAMPAH PINTAR
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan Negeri berhasrat untuk melaksanakan sistem pengurusan sampah pintar dengan penggunaan IoT di tong sampah awam?
Kerajaan Negeri melalui KDEB Waste Mangement (KDEBWM) telah melaksanakan projek SMARTBIN@KDEBWM secara Proof of Concept (POC) di kawasan Jenjarom, Kuala Langat mulai 1 Ogos 2023 hingga 31 Disember 2023. Projek yang dilaksanakan melalui penyelidikan bersama Institut Informatik Visual, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini meneroka pelaksanaan Kod QR dalam Sistem Pengurusan Tong Sampah Pintar yang membolehkan pemantauan dan penjejakan sisa yang dikumpulkan dari tong sampah semasa proses kutipan sampah domestik di kawasan kediaman. Hasil daripada POC ini, beberapa ruang penambahbaikan telah dikenal pasti dan pihak KDEBWM bersama UKM pada masa ini dalam usaha untuk membangunkan tong sampah pintar (smart bin) yang menggunakan teknologi gabungan QR Code dan Augmented Reality (AR) melalui AR Glass. Gabungan kedua-dua teknologi ini dijangka akan dapat meningkatkan kecekapan pemantauan, mengurangkan kesilapan manusia serta mempercepatkan proses kutipan sampah secara lebih sistematik. Pelaksanaan smart bin ini dijangka akan dilaksanakan pada suku tahun ke empat tahun 2025.
-
Adakah kerajaan Negeri telah mempertimbangkan cara untuk mengurangkan jejak karbon dan meningkatkan kecekapan dalam pengumpulan sampah melalui teknologi ini?
Kerajaan Negeri komited untuk mengurangkan jejak karbon dan meningkatkan kecekapan dalam pengurusan sisa pepejal di Negeri Selangor melalui penggunaan teknologi IoT. Antara inisiatif yang dipertimbangkan untuk dilaksanakan adalah seperti berikut:
- Tong Sampah Bersensor: penggunaan sensor di tong sampah dapat membantu mengesan tahap pengisian tong dan menghantar maklumat kepada syarikat konsesi untuk mengutip sampah. Ini dapat mengoptimumkan penggunaan bahan api serta pelepasan karbon oleh lori sampah.
- Sistem Pemisahan Sisa Berasaskan AI: Penggunaan AI dalam membantu pemisahan sisa di loji kitar semula dapat meningkatkan kecekapan dan mengurangkan pencemaran hasil daripada sisa yang dilupuskan.