Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

253) SISTEM PENGANGKUTAN DI SELANGOR

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Pengangkutan

Adun: Y.B. Tuan Mat Shuhaimi Bin Shafiei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kerajaan Negeri telah mengumumkan seluruh Selangor akan dihubungkan dalam tempoh satu jam semasa sidang DUN lepas. Jelaskan perkembangan cadangan ini dan bilakah ia akan dilaksanakan

    Sistem pengangkutan awam yang lebih menyeluruh di Negeri Selangor dengan menghubungkan kawasan yang dikenal pasti dalam tempoh satu (1) jam merupakan hasrat dan fokus penting Kerajaan Negeri.

    Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2009 Kerajaan Negeri Selangor yang telah diumumkan, sistem pengangkutan awam merupakan salah satu perkara penting yang diberi tumpuan khusus. Antara program penting yang menjadi teras adalah seperti berikut :

     

    1. Memastikan pengukuhan sistem pengangkutan awam di Negeri Selangor dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
    2. Modal Split dari 90:10 ke 50:50.
    3. ‘One Hour Public Transport Model’ iv) Menyambung Laluan LRT dari Kelana Jaya ke Klang
    4. Pengangkutan Awam Bersepadu (Bas, Teksi, LRT diintegrasikan dalam terminal pengangkutan awam).
    5. Menambah penyediaan sistem pengangkutan ke seluruh kawasan dalam Negeri Selangor.
    6. Menambah perkhidmatan ‘bas henti-henti’ antara bandar dalam Negeri Selangor.

     

    Dalam usaha merangka sistem pengangkutan yang lebih bersepadu dan menyeluruh di Negeri Selangor khususnya, Kerajaan Negeri juga telah menjalankan tindakan awal seperti berikut :

     

    1. Satu Mesyuarat Pengangkutan Awam telah diadakan pada 21 Mei 2009. Kerajaan Negeri telah menjemput Syarikat Kejuruteraan dan Pengangkutan Siemens – Malaysia untuk memberi penerangan mengenai cadangan dan pandangan terhadap pengangkutan awam. Kerajaan Negeri juga turut menjemput pakar-pakar profesional yang berkaitan dari Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk memberi pendapat dan komen serta berkongsi idea untuk mendapatkan  model terbaik sistem pengangkutan awam di Negeri Selangor.
    2. Di bawah program Urban Redevelopment, Kerajaan Negeri telah menjemput beberapa pakar runding untuk membentangkan cadangan program pembangunan semula di kawasan yang dikenal pasti. Sistem pengangkutan awam merupakan teras utama dalam melaksanakan pembangunan semula.
    3. Dalam Rancangan Struktur (RS) dan Rancangan Tempatan (RT), penyediaan terminal pengangkutan bersepadu dan laluan pengangkutan awam terutama bas diberi penekanan khusus.
    4. Kerajaan Negeri juga telah memberi pandangan dan cadangan sistem pengangkutan awam dalam Pelan Bandaraya Kuala Lumpur 2020, supaya jajaran pengangkutan awam berasaskan rel melewati ke sempadan DBKL dan pusat-pusat pertumbuhan dalam kawasan lima (5) Pihak Berkuasa Tempatan terlibat iaitu MBPJ, MPSJ, MPKj, MP Selayang dan MPAJ.
  2. Berapakah kos keseluruhan projek ini dan terangkan sumber kewangannya serta nyatakan bagaimanakah ia akan dilaksanakan memandangkan keadaan ekonomi semasa tidak begitu menggalakkan

    Sama seperti di SUB(a)

  3. Apakah projek ini akan dilaksanakan dengan penyertaan pihak swasta lain di peringkat nasional memandangkan banyak pihak ini telah mempunyai perancangan serupa terutamanya sistem LRT yang telah menjangkau pinggir lembah Klang seperti di Putra Height, Seksyen 27 dan sebagainya

    Kerajaan Negeri sentiasa menyokong dan menggalakkan penyertaan cadangan pihak swasta di peringkat nasional. Namun demikian, cadangan tersebut perlulah dinilai dan dapat memberi kelebihan kepada penduduk di Negeri Selangor.

     

    Sebagai contoh, terdapat dua (2) cadangan sambungan LRT yang dibangunkan oleh Syarikat PRASARANA iaitu (Rujuk Pelan 1.0);

     

    1. Sambungan LRT Laluan Ampang sepanjang 7 km yang bermula dari Stesen Sri Petaling sedia ada dan berakhir di Puchong/USJ – Bandar Putra Heights. Sejumlah 13 buah stesen cadangan dan 4 daripada stesen tersebut dilengkapi kemudahan ‘park n ride’, dan
    2. Sambungan LRT Laluan Kelana Jaya sepanjang 17 km yang bermula dari Stesen Kelana Jaya dan berakhir di Puchong/USJ – Bandar Putra Heights. Sejumlah 13 buah stesen cadangan dan 5 daripada stesen tersebut dilengkapi kemudahan ‘park n ride’.

    Kerajaan Negeri dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 17/2009 yang diadakan pada 27 Mei 2009 telah mengambil maklum mengenai Cadangan sambungan LRT Laluan Ampang  dan LRT Laluan Kelana Jaya.

     

    Cadangan sambungan LRT ini juga telah dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Bil 3/2009 yang bersidang pada 16 Jun 2009. Jawatankuasa tersebut telah bersetuju untuk disediakan satu kertas kerja MMKN secara bersama UPEN, JPBD Negeri Selangor, Pejabat Projek Zon Tengah (JPBD Semenanjung Malaysia), MBSA, MBPJ dan MPSJ.

     

    Cadangan sambungan LRT ini dapat menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam dan mengurangkan masalah kesesakan.