Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
250) SISTEM PENDIDIKAN TVET
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Datuk Abdul Rashid Bin Asari
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah Kerajaan Negeri dalam memperkukuhkan pendidikan TVET?
- Kerajaan Negeri sangat komited dalam merancang dan merealisasikan harapan Malaysia dalam melahirkan tenaga mahir melalui program TVET seperti sasaran Dasar TVET Negara 2030 dengan aspirasi negara melahirkan 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030 yang akan membawa Malaysia ke arah negara maju dengan menekankan modal insan berkemahiran yang responsif, fleksibel dan inklusif.
- Kerajaan Negeri juga akan menumpukan kepada lima (5) teras utama Dasar TVET Negara 2030 iaitu tadbir urus komprehensif dan bersinergi, kualiti dan laluan pendidikan bertaraf dunia, kerjasama industri cekap dan produktif, pembiayaan TVET yang mampan dan TVET sebagai pilihan utama kerjaya dengan 23 strategi secara keseluruhan.
- Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan insentif sedia ada seperti bantuan yuran pengajian melalui program IKTISASS, kerjasama bersama institusi pengajian tinggi dan industri antarabangsa dan menambah baik program TVET sedia ada selari dengan arus perdana dan keperluan industri utama di Selangor khasnya dan Malaysia amnya. Kerajaan Negeri juga akan sentiasa memastikan kerjasama bersama Kerajaan Pusat juga sentiasa diteruskan bagi memastikan agenda TVET ini terlaksana dan berkesan. Antara langkah-langkah utama yang diambil bagi memperkukuhkan TVET di Selangor adalah:
1. Pengukuhan Infrastruktur dan Institusi TVET
Meningkatkan kapasiti Pusat Latihan Kemahiran seperti STDC dengan menyediakan peralatan dan fasiliti terkini yang memenuhi piawaian industri dan menambah baik kemudahan bengkel, dan bilik latihan bagi memastikan pengalaman pembelajaran yang lebih praktikal dan berkesan.
2. Peningkatan Kemahiran Tenaga Pengajar
Melaksanakan Latihan Sangkutan Industri bagi tenaga pengajar supaya mereka mendapat pendedahan kepada teknologi terkini dalam sektor industri dan mewajibkan tenaga pengajar mengikuti program pensijilan profesional, latihan industri, dan upskilling & reskilling
3. Penyelarasan Kurikulum dengan Keperluan Industri
Bekerjasama dengan pihak industri dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk memastikan silibus TVET di STDC selaras dengan kehendak pasaran kerja serta memperkenalkan program TVET berasaskan teknologi baharu seperti automotif elektrik (EV), dron, kecerdasan buatan (AI), dan sistem automasi bangunan (BAS)
4. Program Latihan dan Penempatan Pekerjaan
Melaksanakan program apprenticeship, on-the-job training, dan latihan industri berstruktur bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan TVET dengan kerjasama dengan syarikat swasta dan industri bagi menyediakan peluang latihan praktikal dan penempatan pekerjaan kepada pelajar TVET.
5. Memperkukuhkan dan meningkatkan dana tajaan
Mempelbagaikan sumber pembiayaan seperti tajaan yuran kursus melalui IKTISASS dan beberapa tajaan berkaitan kepada pelajar dari golongan kurang berkemampuan.
6. Promosi dan Kempen Kesedaran TVET
Melaksanakan program Jelajah TVET STDC seperti Bootcamp TVET, dan program kerjasama dengan sekolah-sekolah bagi menarik minat pelajar memilih TVET sebagai laluan kerjaya.
-
Bagaimana usaha tersebut memberi manfaat kepada belia di Selat Klang dan apakah program latihan yang meningkatkan kemahiran teknikal mereka?
Mengambil kira pelbagai inisiatif dan insentif telah dilaksanakan dan ditawarkan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2018, YB Ahli Dewan Undangan Negeri dan semua pemimpian masyarakat di Dewan Undangan Negeri Selat Klang dan Negeri Selangor hendaklah bersama-sama mewar-warkan perkara ini bagi memastikan manfaat dapat dikecapi oleh belia di kawasan Dewan Undangan Negeri Selat Klang dan Negeri Selangor melalui program-program usahasama dengan pihak STDC, UNISEL dan Universiti Islam Selangor.