Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

14 Mac 2022 - 18 Mac 2022 Dan 21 Mac 2022 - 25 Mac 2022 (Isnin - Jumaat, dan Isnin - Jumaat)

115) SISTEM PENCEGAHAN PENJUALAN LOT BUMI

Tahun: 2022

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Jawapan sidang yang lepas berkenaan isu sistem pencegahan penjualan lot bumiputera kepada bukan bumiputera menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan membuat libat urus dengan PTGS, Kamar Penasihat Undang-Undang dan HBA. Sila nyatakan hasil sesi libat urus tersebut dan perkembangan daripadanya.

    Untuk makluman Yang Berhormat, beberapa siri libat urus telah diadakan dan yang terakhir adalah pada 3 November 2021 bersama- sama dengan pihak Pejabat Tanah Dan Galian Selangor (PTGS), Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan (REHDA), Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA) dan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH). Di dalam sesi tersebut, beberapa perkara telah dibangkitkan termasuklah cadangan kaedah/ mekanisma pengawalan untuk memastikan pihak pemaju tidak melanggar/ terlebih jual unit- unit kuota Bumiputera kepada pembeli bukan Bumiputera. Selain itu, ada juga dibincangkan mengenai tindakan undang- undang yang boleh diambil untuk menghukum pemaju-pemaju yang telah melanggar syarat jualan kuota Bumiputera ini.

    Hasil perbincangan itu juga, pihak HBA mencadangkan beberapa perkara untuk dilihat/ dikaji oleh pihak Kerajaan Negeri seperti berikut:

    i) Pihak LPHS dan PTGS mensyaratkan pihak pemaju untuk menandatangani Surat Akuan Sumpah bahawa pemaju tidak akan menjual unit- unit Bumiputera kepada bukan Bumiputera untuk mengekalkan kuota Bumiputera di atas projek mereka. Sekiranya pemaju tidak mematuhi surat akuan tersebut, ianya merupakan kesalahan jenayah di bawah Seksyen 199, Akta Akuan Berkanun, dan pesalah boleh dipenjarakan;

    ii) Setiap pengarah yang menganggotai lembaga syarikat tersebut harus menandatangani Aku Janji atau menyediakan Jaminan Peribadi. Sekiranya berlaku pelanggaran/ terlebih jual kepada pembeli bukan Bumiputera,
    tindakan sivil boleh dikenakan kepada setiap ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.

    Rumusan daripada perbincangan tersebut, cadangan daripada pihak HBA ini adalah baik dan pihak HBA perlu memperincikan cadangan- cadangan tersebut serta kemukakan kepada pihak LPHS untuk diteliti seterusnya dipanjangkan kepada pihak Kamar Penasihat Undang- undang Negeri untuk ulasan sebelum sesi libat urus bersama- sama pihak Kamar Penasihat Undang- undang diadakan.

    Untuk makluman Yang Berhormat, sehingga ke hari ini, pihak HBA masih belum mengemukakan cadangan terperinci kepada LPHS sebelum tindakan selanjutnya dapat di buat.

Lampiran

Tiada Lampiran.