Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
192) SISTEM PENCEGAHAN PENJUALAN LOT BUMI
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan penjualan lot Bumiputera kepada bukan Bumiputera buat masa sekarang adalah "after sales". Sila nyatakan langkah-langkah "pre-sales" yang sedang dilaksanakan untuk mengelakkan penjualan lot Bumiputera kepada bukan Bumiputera?
Untuk makluman Yang Berhormat, pada masa ini tiada kawalan khusus penjualan lot Bumiputera kepada bukan Bumiputera semasa aktiviti penjualan oleh pihak pemaju. Aktiviti penjualan sesuatu hartanah diuruskan/ dilaksanakan sendiri oleh pihak pemaju yang mana pihak pemaju perlu mematuhi syarat kuota yang diluluskan. Penentuan kuota jualan Bumiputera bagi sesuatu pembangunan dikenakan semasa kelulusan tukar syarat kegunaan dan pemberimilikan tanah. Kelulusan tersebut diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Oleh itu, pihak pemaju dikehendaki mematuhi syarat kuota jualan Bumiputera yang telah diluluskan tersebut. Sekiranya pihak pemaju tidak mematuhi syarat kuota Bumiputera atau pemaju telah terlebih jual unit Bumiputera kepada pembeli bukan Bumiputera maka proses ‘blanket consent’ / ‘blanket approval’ tidak boleh diteruskan / dibuat oleh Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS).
Pemaju dikehendaki membuat permohonan pelepasan syarat kuota Bumiputera di LPHS berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan sebagaimana dinyatakan di dalam Pekeliling Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor Bilangan 1 Tahun 2019.
-
Jika tiada, sila nyatakan langkah-langkah yang wajar dilaksanakan.
Untuk makluman Yang Berhormat, pihak pemaju sepatutnya maklum berkenaan sesuatu syarat kuota Bumiputera yang dikenakan ke atas sesuatu pembangunan berdasarkan kelulusan MMKN dan menjual unit-unit hartanah/ produk mereka berdasarkan kelulusan MMKN tersebut.
Walaubagaimanapun, terdapat sesetengah pemaju yang melanggar penjualan kuota Bumiputera kepada pembeli bukan Bumiputera yang akhirnya pembeli tersebut tidak dapat memperoleh hakmilik akibat daripada pelanggaran tersebut. Menyedari akan masalah yang dihadapi oleh pembeli- pembeli tersebut, Kerajaan Negeri akan mengkaji satu mekanisma bagaimana hendak mengawal pemaju- pemaju ini dari terus melanggar penjualan kuota Bumiputera ini.
Buat permulaan, Kerajaan Negeri akan membuat sesi libat urus bersama- sama dengan jabatan- jabatan berkaitan seperti Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS), Kamar Penasihat Undang- undang Negeri serta Persatuan Kebangsaan Pembeli Rumah (HBA) untuk sama- sama berbincang kaedah yang terbaik untuk mengatasi masalah ini.