Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
215) SISTEM PEMBAYARAN CUKAI ATAS TALIAN
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Memandangkan kita akan memasuki era post-COVID 19 yang akan hidup dengan norma baharu, adakah kerajaan akan mengutamakan sektor-sektor berkaitan dengan atas talian seperti memastikan semua bayaran cukai dapat dijalankan atas talian?
- Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dengan membangunkan aplikasi perkhidmatan secara atas talian seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
- Kerajaan Negeri Selangor melalui Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) telah menyediakan kemudahan pembayaran secara dalam talian bagi cukai tanah dan cukai petak menerusi Portal eHasil dan Perbankan Internet menerusi medium Maybank2u dan CIMB Clicks. Sehingga 31 Oktober 2021, dua puluh lapan peratus (28%) daripada jumlah kutipan cukai tanah dan cukai petak adalah pembayaran secara dalam talian melibatkan enam ratus tiga puluh sembilan ribu empat ratus sembilan belas (639,419) transaksi.
- Kaedah pembayaran cukai taksiran dalam talian juga telah dibangunkan oleh sebahagian besar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor sebelum pandemik COVID19 bermula. Ianya bertujuan memudahkan proses bayaran cukai taksiran oleh pemilik dan secara langsung dapat meningkatkan kutipan hasil PBT. Di antara kaedah bayaran dalam talian yang disediakan adalah melalui online banking, Jom Pay, (laman web PBT) dan laman web PBTPay (KPKT). Selain itu, penyediaan kiosk pembayaran di kawasan awam juga ada disediakan bagi mengalakkan pembayaran dalam talian.
- Kerajaan Negeri Selangor melalui Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) telah membangunkan aplikasi Citizen E-Payments (CEPat) yang memuatkan beberapa pembayaran hasil utama seperti Cukai Pintu, Kompaun, Lesen, Sewaan Fasiliti di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang boleh dibayar melalui Perbankan Internet, JomPay dan lima (5) e-wallet utama. Pembayaran Cukai Tanah dan Cukai Petak juga akan diupayakan menerusi CEPat pada tahun 2022.