Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
181) SISTEM PEMANTAUAN PERUNTUKAN KEPADA AHLI MAJLIS
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Lee Ying Ha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan cara-cara untuk memantau peruntukkan yang dibelanjakan oleh Ahli Majlis.
Pemantauan peruntukan yang dibelanjakan oleh Ahli-ahli Majlis PBT adalah berdasarkan permohonan melalui kertas kerja program yang hendak dijalankan dan juga penggunaan borang tuntutan berserta bukti yang perlu disediakan oleh pembantu Ahli Majlis. Permohonan akan disemak dan diluluskan oleh pihak PBT berdasarkan penelitian dan kajian setiap program yang dicadangkan dari segi kos perbelanjaan, kesesuaian atau faedah kepada masyarakat, kesesuaian lokasi dan sebagainya.
Penggunaan kawalan buku Vot dan pembentangan laporan perbelanjaan juga dilaksanakan oleh PBT bagi memantau penggunaan peruntukan oleh setiap Ahli Majlis.
-
Berapakah Ahli Majlis yang sudah terima peruntukkan sebanyak RM2500 setiap bulan untuk penyewaan pejabat dan mengupah kerani? Sila nyatakan mengikut PBT.
Berdasarkan status penerimaan peruntukkan pejabat oleh Ahli-ahli Majlis PBT sehingga 30 Jun 2009, keseluruhan Ahli-ahli Majlis telah pun menerima peruntukan berkenaan kecuali di Majlis Daerah Hulu Selangor dan Majlis Daerah Sabak Bernam di atas kekangan peruntukkan.
Jumlah peruntukkan pejabat yang diberikan kepada setiap Ahli Majlis juga adalah berbeza-beza mengikut kemampuan PBT iaitu antara RM1000.00 sehingga RM2500.00.
Untuk makluman Tuan Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat, kebanyakan Ahli-ahli Majlis menggunakan Pusat Khidmat PBT atau Dewan Serbaguna PBT sebagai pejabat urusan dan juga mengambil langkah berkongsi pembantu bagi mengelakkan pembaziran.
-
Kalau peruntukan RM2500 telah dimasukkan ke akaun peribadi Ahli Majlis tetapi tidak digunakan untuk penyewaan pejabat dan mengupah kerani, apakah tindakan kerajaan untuk menarik balik peruntukan tersebut dan bilakah tindakan ini akan diambil?
Untuk makluman, tiada peruntukan pejabat di salurkan terus ke akaun peribadi Ahli Majlis. Peruntukan pejabat tersebut akan dituntut oleh Ahli-ahli Majlis mengikut borang yang telah disediakan oleh pihak PBT. Pihak PBT hanya akan membuat bayaran mengikut jumlah yang dituntut tetapi tidak melebihi jumlah peruntukkan. Walau bagaimanapun terdapat juga Ahli Majlis tidak menuntut tuntutan seperti yang diperuntukkan sebulan. Sekiranya Ahli Majlis tidak menggunakan peruntukkan tersebut untuk utiliti dan penyewaan pejabat, pihak PBT akan menarik balik bayaran tersebut.