Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

126) SISTEM MAKLUMAT BERSEPADU IPR SELANGOR

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah pihak YAWAS ada plan untuk membuat pemutihan data maklumat warga emas yang telah meninggal dunia dengan JPN?

    Untuk makluman Yang Berhormat Meru, pihak Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) kini sedang dalam proses membuat pemutihan data warga emas dengan melaksanakan pemurnian data bagi ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang telah berdaftar di dalam sistem SMUE. Pemurnian data ini dibuat dengan kerjasama penuh daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan maklumat dan senarai ahli yang telah meninggal dunia dan seterusnya akan dikemaskini ke dalam sistem SMUE oleh pihak YAWAS.

    Bagi status terkini, proses pemurnian data ini telahpun selesai di pihak JPN dan kini dalam proses untuk peralihan data ke YAWAS. Proses pemutihan dan pemurnian data ahli SMUE ini dijangka siap sepenuhnya pada bulan September ini.

  2. Adakah Kerajaan Negeri Selangor mahu membuat satu sistem yang mengumpulkan semua maklumat penerima manafaat IPR seperti Peduli Sihat, SMUE, KISS, Insentif Air Selangor dan lain-lain dalam satu sistem maklumat bersepadu?

    Untuk makluman Yang Berhormat Meru, sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk menjadi Smart State menjelang tahun 2025, Sistem Smart Inisiatif Peduli Rakyat (SSIPR) kini dalam proses pembangunan yang mana ianya berasaskan konsep one stop centre bagi memudahkan rakyat melaksanakan urusan pendaftaran, permohonan dan penyemakan secara dalam talian bagi 33 Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

    SSIPR merupakan suatu gerbang kepada rakyat Selangor untuk mendaftar dan memohon 33 IPR yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor secara dalam talian berdasarkan kepada kriteria dan kelayakan yang telah ditetapkan oleh setiap IPR. Selain itu, semakan status permohonan tersebut boleh dilaksanakan secara dalam talian. Melalui SSIPR ini, permohonan akan dilaksana dan diproses secara dalam talian sepenuhnya, daripada permohonan oleh pemohon sehingga kepada kelulusan oleh Agensi Pelaksana dan akhir sekali pemakluman keputusan kepada pemohon. Penyampaian informasi lebih kemas dan teratur dan dapat diakses dalam pelbagai platform sama ada melalui web based mahupun mobile application.

    SSIPR yang dibangunkan ini adalah berbentuk portal serta aplikasi mudah alih, berfungsi sebagai sistem pengurusan IPR, yang berpaksikan cloud infrastructure dan pangkalan data dengan teknologi terkini. SSIPR dapat meningkatkan kecekapan untuk menguruskan data pengguna IPR di satu tempat atau one stop centre. Di samping itu juga, maklumat lengkap mengenai program IPR mudah diakses dan dilengkapi dengan fungsi GIS (Geographic Information System) dan GPS (Global Positioning System) bagi program-program IPR yang bersesuaian.

    SSIPR akan meliputi 33 IPR yang terbahagi kepada enam (6) kluster iaitu:

    o Kebajikan (9 IPR)
     Kasih Ibu Smart Selangor (KISS)
     Skim Air Darul Ehsan (SADE)
     Bas Smart Selangor
     WIFI Smart Selangor
     Program Pemberian Bantuan Baucar Sempena Perayaan (Jom Shopping)
     Bantuan Bina dan Baiki Rumah
     Bantuan Kebajikan Masyarakat (Bantuan Am)
     Pengecualian Cukai Pintu untuk Rumah Kampung
     Pengecualian Fi Lesen Penjaja

    o Kesihatan (3 IPR)
     Skim Insurans Peduli Sihat (SiPS)
     Bantuan Sihat Selangor
     Skim Kesihatan Wanita
    o Kekeluargaan (6 IPR)
     Skim Mesra Usia Emas (SMUE)
     Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar (ASUH)
     Skim Bantuan Tadika Selangor (TUNAS)
     Perpustakaan Bergerak Smart Selangor
     Insentif Generasi Muda Selangor (iGems)
     Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS)

    o Pendidikan (7 IPR)
     Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Iktisas Smart Selangor (IKTISASS)
     Program Khas Peduli Siswa
     Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS)
     Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor
     Hadiah Pengajian IPT (HPIPT)
     Program Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang
     Pusat Tuisyen Online

    o Pekerjaan (4 IPR)
     Skim Hijrah Selangor
     Dana Usahawan Mikro Selangor (DUMS)
     Latihan Usahawan IT (SIDEC)
     Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan

    o Perumahan (4 IPR)
     Skim Rumah Selangorku
     Skim Ceria
     Skim Smart Sewa
     Skim DanaSel

    Di pihak Kerajaan, menyedari bahawa kepentingan keperluan maklumat dan data program-program di bawah IPR ini disatukan agar pengurusan dan pemantauan maklumat dapat dilaksanakan secara optima, SSIPR amat membantu sebagai satu platform perkhidmatan IPR yang sistematik serta memudahkan pemprosesan maklumat, seterusnya melancarkan proses aliran kerja pengurusan IPR kepada rakyat Selangor. Sistem ini secara tidak langsung akan mengurangkan birokrasi dalam timbul sewaktu urusan permohonan dan kelulusan IPR, sekaligus meningkatkan ketelusan, kecekapan, keberkesanan dan integriti.

    SSIPR boleh dicapai melalui pautan www.ssipr.selangor.gov.my atau melalui aplikasi mudah alih SSIPR versi Android dan juga iOS.

Lampiran

Tiada Lampiran.