Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

73) SISTEM E-ADUAN PBT

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Terdapatnya masalah kenalpasti pihak yang patutnya bertanggungjawab terhadap aduan lubang jalan, lampu jalan yang tidak berfungsi atau masalah-masalah lain semasa rakyat jelata ingin membuat aduan terhadap masalah-masalah tersebut, terutamanya kawasan-kawasan yang berada di sempadan antara dua PBT. Masalah ini bertambah serius semasa semua PBT tiada satu sistem yang sama untuk menerima aduan. Hal ini menyebabkan ahli-ahli majlis menjadi orang tengah yang menguruskan aduan dan masa yang boleh digunakan oleh mereka untuk membuat polisi telah dikurangkan. Adakah Kerajaan Selangor berhasrat untuk mengeluarkan satu aplikasi atau sistem untuk menyelaraskan semua aduan PBT demi memudahkan kaedah PBT-PBT menerima aduan daripada rakyat?

    Kerajaan Negeri Selangor telah mula menggunapakai Sistem Pengurusan Aduan Bersepadu (SISPAA) mulai 19 Mac 2018. SISPAA merupakan hasil penambahbaikan Sistem iSPAAA yang dilaksanakan secara kolaborasi oleh Biro Pengaduan Awam (BPA), Kementerian Kewangan (MOF) dan MAMPU.

    Mesyuarat Pengurusan Pegawai-pegawai Kanan Pejabat SUK Negeri Selangor Bil. 3/ 2016 yang dipengerusikan YB Setiausaha Kerajaan pada 5 Ogos 2016 telah dimaklumkan bahawa BPA memilih Pentadbiran SUK Selangor sebagai perintis kepada penggunaan SISPAA. Mesyuarat kemudiannya bersetuju supaya penggunaan satu sistem pengurusan aduan bersepadu yang sesuai turut dipanjangkan kepada agensi berkaitan Kerajaan Negeri.

     

    Pelaksanaan SISPAA di Negeri Selangor telah dibincangkan selanjutnya sewaktu Mesyuarat Pengurusan Pegawai-pegawai Kanan Pejabat SUK Negeri Selangor Bil. 1/ 2017 pada 20 Januari 2017 yang dipengerusikan YB Setiausaha Kerajaan. Mesyuarat tersebut sebulat suara tiada halangan supaya SISPAA, yang dapat menerima pelbagai kategori dan lokaliti aduan berkaitan Negeri Selangor daripada seluruh rakyat, dilaksanakan dalam pengurusan aduan di Negeri Selangor yang merangkumi semua jabatan/ agensi (termasuk pihak berkuasa tempatan, badan berkanun, dan anak syarikat) di bawah Kerajaan Negeri. Sehingga kini, 69 jabatan/ agensi berkaitan Kerajaan Negeri telah menggunapakai SISPAA.

    SISPAA merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan dan penyampaian dari masa ke semasa yang telah dimudahcara oleh teknologi terkini. SISPAA dapat mempercepatkan dan memudahkan proses penyampaian maklum balas kepada agensi kerajaan kerana ianya boleh dicapai oleh pengguna pada bila-bila masa selagi mana terdapat capaian internet.

Lampiran

Tiada Lampiran.