Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
152) SISA BUANGAN TERJADUAL
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Dr. Afif Bin Bahardin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah dasar terbaru Kerajaan Negeri dalam menguruskan usaha pemulihan sisa buangan terjadual di Negeri Selangor?
Dalam aspek pengurusan sisa, Kerajaan Negeri amat mementingkan pengurusan sisa yang berkesan dan ke arah kecekapan sumber yang lebih baik. Walau bagaimanapun, bagi pengurusan sisa berjadual, Kerajaan Negeri buat masa ini belum berhasrat untuk menggubal dasar baharu berkaitan pengurusan sisa berjadual di Negeri Selangor memandangkan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang membangunkan suatu dasar baharu mengenai pengurusan buangan berjadual melalui pendekatan ekonomi kitaran (circular economy). Antara perkara utama yang diambilkira dalam pembangunan dasar baru tersebut adalah seperti berikut:
- Pengurusan buangan terjadual yang holistik merangkumi kaedah kutipan ses, konsep Extended Producer Responsibility (EPR), kredit karbon (carbon kredit), eco-labelling dan lain-lain yang berkaitan;
- Memastikan kuantiti buangan terjadual yang dihasilkan dari sektor industri dapat dikawal melalui pengurangan penjanaan, peningkatan kadar kitar semula, pemerolehan kembali dan pengurangan pelupusan buangan terjadual di tapak pelupusan;
- Meningkatkan potensi kitar semula atau pemerolehan kembali buangan sebagai bahan mentah gantian, bahan api gantian atau produk baru; dan
- Menyediakan garis panduan teknikal sebagai rujukan kepada pihak-pihak yang berkepentingan termasuk pihak industri bagi melaksanakan pengurusan buangan terjadual selaras dengan konsep ekonomi kitaran (circular economy).
-
Apakah peranan KDEB di dalam usaha ini? Bagaimana KDEB Selangor memastikan bahawa ianya mematuhi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak
berkuasa?Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, KDEB Waste Management tidak menguruskan buangan terjadual untuk Negeri Selangor. Buangan terjadual merujuk kepada sisa berbahaya yang dihasilkan dari pelbagai industri seperti bahan kimia, sisa klinikal serta sisa elektrik dan elektronik (e-waste). Ianya dikawal selia melalui Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974. Di bawah Akta ini, pengurusan buangan terjadual hendaklah diuruskan oleh kontraktor yang mempunyai lesen daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).