Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021

261) SIPS – SKIM INSURAN PEDULI SIHAT – DUN N39 KOTA DAMANSARA

Tahun: 2021

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Shatiri Bin Mansor

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah sebenar penerima sejak ianya di perkenalkan hingga kini?

    Rakyat Negeri Selangor terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah merasa terbeban akibat daripada peningkatan berterusan kos sara hidup. Peningkatan ini menyebabkan pendapatan isi rumah tidak dapat menampung peningkatan harga barangan atau perkhidmatan, termasuk perkhidmatan kesihatan seperti kos ubat-ubatan, caj khidmat rawatan dan khidmat perundingan. Meskipun dalam mendepani cabaran kesihatan global dan domestik, Kerajaan Negeri tetap mengutamakan aspek kesihatan rakyat bagi memastikan rakyat terus menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.

     

    Oleh yang demikian, pengenalan Skim Peduli Sihat (SPS) oleh pada tahun 2017 telah sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan mendapatkan rawatan luar bagi golongan yang kurang berkemampuan. Bagi memberi nilai tambah dan manfaat yang lebih menyeluruh, SPS telah ditambahbaik kepada Skim Insurans Peduli Sihat (SIPS) yang diperkenalkan pada April 2020 di mana ia akan memberi jaminan perlindungan kesihatan termasuk manfaat insurans kepada 85,000 keluarga dan individu yang berkelayakan. Jumlah penerima bagi Program SIPS sejak ia mula dilaksanakan sehingga tahun 2021 adalah seperti berikut:

     

    Bil. Tahun Jumlah Ahli Aktif
    1. 2017 282,096 orang
    2. 2018 372,099 orang
    3. 2019 372,099 orang (sebelum penjajaran);

    59,488 (selepas penjajaran)

    4. 2020 79,725 orang
    5. 2021 70,126 orang
  2. Adakah kerajaan merancang untuk menambah kota penerima tersebut ?

    Bagi memastikan lebih ramai rakyat menerima manfaat di bawah program SIPS, bermula tahun 2022, Kerajaan Negeri akan menambah jumlah kuota kepada 90,000 orang penerima, peningkatan kuota seramai 5,000 orang penerima berbanding pada tahun 2021. Kerajaan Negeri berharap penambahan kuota ini mampu memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat yang memerlukan.

  3. Apakah masalah terbesar (jika ada) yang di hadapi oleh kerajaaan dalam melaksanakan program tersebut ?

    Dalam pelaksanaan program SIPS ini, pelbagai cabaran dan rintangan dihadapi dalam memastikan manfaat program ini sampai kepada golongan sasar. Antara masalah terbesar yang dihadapi adalah apabila penerima manfaat program tidak mengemaskini data peribadi mereka menyebabkan Kerajaan Negeri melalui Selcare Management Sdn Bhd sukar untuk menghubungi mereka bagi membuat hebahan berkenaan perubahan syarat dan polisi terbaharu.

Lampiran

Tiada Lampiran.