Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017

74) SILA MENYATAKAN JUMLAH IKS DI SETIAP DAERAH PADA TAHUN 2016

Tahun: 2017

Sesi: 2

Isu: Usahawan

Adun: Y.B. Puan Lai Nyuk Lan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan Kerajaan Negeri Selangor untuk bantu pengusaha IKS untuk meningkatkan hasil pendapatan dan menjana ekonomi negeri?

    Sehingga tahun 2016, sebanyak 25,562 orang usahawan yang telah membuat pinjaman di bawah pinjaman mikrokredit HIJRAH Selangor. Usahawan-usahawan ini terdiri daripada pelbagai bidang.  Perincian usahawan adalah seperti berikut:

    Industri Kecil dan Sederhana (IKS) ditakrifkan sebagai perusahaan perkilangan atau syarikat yang menyediakan perkhidmatan berkaitan perkilangan dengan pusing ganti tahunan tidak melebihi RM25 juta dan menggaji kakitangan sepenuh masa tidak melebihi 150 orang. Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan memberikan bantuan kepada industri mikro di mana ia ditakrifkan sebagai perniagaan dengan nilai jualan tahunan tidak melebihi RM300,000.00 dan mempunyai 2 hingga 5 orang pekerja tetap.   Antara langkah-langkah Kerajaan Negeri Selangor untuk bantu usahawan untuk meningkatkan hasil pendapatan dan menjana ekonami negeri adalah seperti berikut:

    i. DANA USAHAWAN MIKRO SELANGOR

    Kerajaan Negeri melalui Unit Pembangunan Usahawan memberikan  bantuan kepada usahawan mikro melalui sembilan (9) daerah di negeri Selangor. Dana Usahawan Mikro Selangor merupakan program khas untuk membantu usahawan mikro di Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil jualan dan sekaligus melahirkan usahawan-usahawan yang berdaya tahan, berdaya saing dan berdaya maju. Setiap tahun Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM200,000.00 bagi setiap daerah untuk menyalurkan bantuan kepada pemohon yang layak.  Seorang pemohon layak menerima bantuan sehingga RM30,000.00. Skop bantuan adalah seperti berikut:

    • Bantuan pembelian mesin / peralatan / perkakasan;
    • Meningkatkan kualiti premis/perniagaan iaitu mengubahsuai/menaiktaraf;
    • Pembiayaan sebahagian kos penyertaan usahawan ke ekspo jualan dan promosi di dalam dan luar negara;
    • Pembiayaan sebahagian kos untuk pembangunan produk dan pensijilan seperti ujian nutrisi, pendaftaran cap dagang, pencarian dan pendaftaran paten, perlindungan harta intelek, persijilan GMP,HALAL, HACCP, ISO dan lain-lain dalam mematuhi standard nasional, antarabangsa dan menembusi pasaran global; dan
    • Lain-lain keperluan yang mempunyai nilai tambah dan mampu melonjakkan pembangunan usahawan mikro di Negeri

     

    ii. PAMERAN/EKSPO

    Salah satu langkah bagi mengembangkan lagi permintaan pasaran produk para usahawan di negeri Selangor adalah melalui ekspo dan pameran.  Setiap tahun, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan akan menyertai ekspo dan pameran tempatan yang bertaraf antarabangsa seperti Penang International Halal Expo Conference (PIHEC), Malaysia International Halal Showcase (MIHAS), Selangor International Expo (SIE) dan Malaysia Halal Festival (HALFEST). Usahawan yang berkelayakan akan ditawarkan untuk menyertai ekspo/ pameran ini bagi mewakili delegasi Negeri Selangor.  Penganjuran ekspo dan pameran ini memberi ruang kepada usahawan dalam meluaskan pasaran bukan sahaja di peringkat tempatan malahan ke peringkat antarabangsa.

    iii. KURSUS/ LATIHAN

    Selain itu, bagi usahawan di peringkat permulaan, Kerajaan Negeri menganjurkan kursus-kursus bagi memberi pendedahan tentang bagaimana untuk mempersiapkan produk mereka sekurang-kurangkan untuk menembusi pasaraya tempatan.

    iv. PROGRAM PENINGKATAN KEUPAYAAN REKA BENTUK PEMBUNGKUSAN PRODUK USAHAWAN NEGERI SELANGOR (4P)

    Untuk membawa produk ke tahap yang lebih tinggi Kerajaan Negeri telah mengadakan program ini khususnya kepada usahawan yang sudah bersedia meluaskan pasaran ke pasaraya rantaian dan ke peringkat antarabangsa. Peserta yang mengikuti program ini akan menerima pensijilan produk, carian jenama dan cetakan pembungkusan.

    v. PROGRAM PEMBINAAN UPAYA USAHAWAN INDIA SELANGOR

    Program ini bertujuan untuk membantu usahawan India yang berpotensi berkembang maju di dalam bidang perniagaan. Di samping itu, ianya adalah program keperluan dalam menyediakan usahawan India menjadi lebih berdikari dan mampu untuk menjana mobiliti Peserta akan diberikan pembangunan latihan dan pengupayaan untuk membina kepakaran, penyediaan cadangan projek selain daripada pengurusan pemasaran dan kewangan. Antara modul yang telah dirangka adalah peserta akan menyertai latihan berbentuk kemahiran bersama syarikat peneraju/mentor terpilih dan akan dipantau selama tiga (3) hingga enam (6) bulan bergantung pada industri yang terpilih. Di dalam tempoh latihan tersebut, peserta akan diberi peluang untuk terus mengendalikan perniagaan mengikut jenis latihan yang diceburi dan dipantau oleh syarikat peneraju.  Program ini akan dilaksanakan secara berperingkat. Bagi fasa pertama yang akan dimulakan pada Ogos 2017 akan melibatkan seramai 100 usahawan India dan fasa kedua akan melibatkan seramai 168 usahawan India yang dijangka akan dilaksanakan pada Oktober 2017.

    vi. PINJAMAN MIKROKREDIT HIJRAH SELANGOR

    HIJRAH Selangor menyediakan pinjaman kewangan berperingkat bermula tahun 2015.  Sebelum ini program pinjaman kewangan ini dikenali sebagai Mikrokredit Bersepadu yang menggabungkan skim-skim mikrokredit SKIMSEL, MIMBAR dan WALA yang telah dilaksanakan semenjak tahun 2010. Ia merupakan satu sistem pengeluaran modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal, dan peluang mendapatkan modal tambahan. Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1-4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat tertentu. Sehingga kini sebanyak 25,562 peminjam yang telah menerima manfaat daripada program ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.