Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
247) SIJIL HALAL
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Nushi Bin Mahfodz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah-langkah kerajaan Selangor bagi menambah premis restoran bersijil halal?
Kerajaan Negeri melalui JAIS telah melaksanakan program-program bagi menambah permohonan pensijilan halal termasuk premis makanan atau restoran. Antara program yang telah dilakukan ialah:
- Seminar Kesedaran Halal kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), pengusaha kantin sekolah, guru-guru kantin sekolah, pelajar-pelajar sekolah, Institut Pengajian Tinggi Awam/ Swasta, Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK), ahli kariah masjid/ surau dan masyarakat awam.
- Klinik Bimbingan Pensijilan Halal kepada usahawan dan industri.
- Sesi Libat Urus Pensijilan Halal bersama Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana di bawah Agensi Pembimbing seperti:
- Majlis Amanah Rakyat (MARA);
- Rubber Industry Smallholder Development Authority (RISDA);
- Jabatan Pertanian Negeri Selangor;
- Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Selangor;
- Jabatan Perikanan Negeri Selangor;
- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia;
- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS);
- Teraju Ekonomi Asnaf (TERAS);
- HIJRAH Selangor;
- Suruhanjaya Koperasi Malaysia;
- Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM);
4. Program Ziarah Halal/ Jelajah Halal Selangor ke restoran- restoran makanan yang masih belum memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) di setiap daerah Negeri Selangor.
5. Edaran pamplet/ promosi halal dan pembukaan reruai.
6. Promosi halal melalui platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.
-
Bagaimanakah kerajaan Selangor dapat memastikan restoran bersijil halal terus mematuhi piawaian?
Pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) akan dipantau oleh Pegawai Pemeriksa daripada Bahagian Pengurusan Halal (JAIS) bagi memastikan kepatuhan berdasarkan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.
Sekiranya ditemui ketidakakuran besar atau serius, Sijil Pengesahan Halal Malaysia akan digantung atau ditarik.
-
Apakah tindakan kerajaan Selangor terhadap restoran yang mempamerkan status halal tanpa sijil sah?
Tindakan tegas boleh dikenakan terhadap restoran yang memaparkan status halal tanpa sijil sah kerana perbuatan ini menyalahi undang-undang dan boleh mengelirukan pengguna berdasarkan Akta Perihal Dagangan 2011 – Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, yang memperuntukkan: Denda sehingga RM200,000.00 bagi syarikat dan denda sehingga RM100,000.00 atau penjara sehingga 3 tahun bagi individu.
Berdasarkan Akta Perihal Dagangan 2011 – Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, tindakan boleh juga dikenakan kepada mana-mana orang yang melakukan kesalahan memperdayakan atau mengelirukan seperti menawarkan untuk membekalkan apa-apa makanan dengan membuat representasi atau perbuatan yang boleh mengelirukan mana-mana orang bahawa makanan itu adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam seperti penggunaan ayat-ayat suci al-quran atau apa-apa objek yang berhubung dengan agama Islam sama ada di premis makanan atau di bekas mana makanan itu di jual.
Sekiranya terdapat sebarang isu berkaitan halal, aduan boleh disalurkan terus kepada Seksyen Penguatkuasaan halal, Bahagian Pengurusan Halal JAIS di talian 03-55143677 atau emel ke aduanpenguatkuasaanhalal@jais.gov.my.