Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

170) SIDEC DAN DIGITALISASI SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah program yang dilaksanakan oleh SIDEC dan berapa penerima manfaat bagi setiap tahun sejak 2020?

    Kerajaan Negeri Selangor, melalui Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (Sidec), telah melaksanakan pelbagai program komprehensif dan inovatif untuk memperkasakan usahawan digital serta meningkatkan ekonomi digital di negeri ini. Usaha ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan yang mampan dan inklusif, dengan memberi tumpuan khusus kepada pengukuhan kapasiti usahawan muda dan pemula. Berikut adalah perincian program-program yang telah dilaksanakan sejak tahun 2020, termasuk jumlah penerima manfaat bagi setiap tahun:

     

    • Selangor Accelerator Programme (SAP)

    Program akselerator ini bertujuan membantu syarikat pemula teknologi melalui bimbingan, jaringan, bengkel, dan persediaan untuk pelaburan dan pengembangan.

    Jumlah Penerima Manfaat: 1,050 buah syarikat pemula teknologi di Selangor telah disenarai pendek menyertai program ini dari tahun 2018 hingga tahun 2023

    • Selangor E-Commerce Xccelerator (ECX)

    Modul dan konsep ECX menumpukan kepada kesiapan pelaburan dan perkembangan perniagaan, menyediakan peserta dengan bengkel intensif, klinik pitching, dan bimbingan mentor dari pakar industri.

    Jumlah Penerima Manfaat: sebanyak 30 buah syarikat telah disenarai pendek untuk menyertai program ini pada tahun 2023.

     

    • Jelajah Usahawan Digital Selangor

    Program ini menggalakkan usahawan menggunakan platform dan perkhidmatan e-dagang serta membina hubungan antara komuniti setempat, kerajaan negeri, dan pemain industri e-dagang.

    Jumlah Penerima Manfaat: sebanyak 3,000 syarikat telah menyertai program ini dari tahun 2020 hingga tahun 2022.

    • Malaysia Top E-Commerce Merchant Awards (TOP ECM)

    Program ini memberi penghargaan kepada peniaga e-dagang tempatan yang berjaya, kreatif, dan inovatif, serta merancakkan industri e-dagang melalui kempen jualan.

    Jumlah Penerima Manfaat: sebanyak 905 buah syarikat peniaga e-dagang telah menyertai program ini dari tahun 2020 hingga tahun 2023.

    • Selangor E-Commerce Onboarding Program

    Program ini menyediakan peniaga dengan laman web e-dagang lengkap, termasuk nama domain (domain name), pengehosan (hosting), gerbang pembayaran (payment gateway), troli beli-belah (shopping cart), pelayan (server), dan penyelesaian e-dagang (e-commerce solutions) lain. Latihan dan sokongan diberikan untuk membantu perniagaan tradisional menerima pendigitalan.

    Jumlah Penerima Manfaat: seramai 300 buah syarikat telah menyertai program in dari tahun 2020 hingga tahun 2022 dan program ini tidak lagi dilaksanakan pada tahun 2023 sehingga kini

    • Selangor E-Commerce Education (Latihan Usahawan IT)

    Selangor E-Commerce (EC) Education merupakan kelas yang berteraskan ekonomi digital, khususnya e-dagang. Setiap topik bagi memberi pendedahan kepada semua lapisan masyarakat, khususnya usahawan di Selangor, tentang kepentingan e-dagang dalam perniagaan mereka.

    Jumlah Penerima Manfaat: dari tempoh tahun 2020 sehingga 2022 adalah seramai 8,600 peserta telah menyertai program ini. Program ini telah diganti dan dijenamakan semula dengan program ECX yang bermula pada tahun 2023

    • Selangor E-Bazar Campaign

    Berikutan pandemik Covid-19, program ini membantu peniaga meneruskan jualan secara atas talian melalui platform Shopee dan Lazada. Kerajaan Negeri menyediakan E-Baucar bagi merancakkan jualan semasa kempen perayaan.

    Jumlah Penerima Manfaat: seramai 74,000 peniaga e-dagang telah menerima manfaat menyertai program ini dari tahun 2020 hingga tahun 2021.

    • Selangor SME Digitalisation Matching Grant

    Program ini bertujuan membantu PKS di Selangor mendigitalisasikan perniagaan mereka dengan memberikan geran digitalisasi bagi membantu usahawan meneruskan semasa pandemik COVID-19.

    Jumlah Penerima Manfaat: 1,050 SME pada tahun 2021

  2. Senaraikan jenis perniagaan usahawan yang telah dilahirkan oleh SIDEC setakat ini.

    Sidec (Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation) memainkan peranan penting dalam mempromosikan dan memperkasakan usahawan di Selangor. Jenis perniagaan usahawan yang telah dilahirkan oleh SIDEC setakat ini adalah dalam sektor ekonomi digital, E-dagang dan syarikat pemula (startup) yang merangkumi dalam ekosistem yang berkaitan seperti:

     

    • E-Dagang (E-Commerce):
    • Melibatkan penjualan produk dan perkhidmatan secara dalam talian melalui platform seperti Lazada, Shopee, dan Tiktok Shop. Contohnya, usahawan menjual pakaian, barang keperluan harian, dan produk kecantikan secara digital.

     

    • Teknologi dan Inovasi:
    • Usahawan ini mengembangkan penyelesaian teknologi baru seperti aplikasi mudah alih, perisian perniagaan, dan platform digital untuk meningkatkan efisiensi operasi perniagaan. Mereka juga mungkin mencipta produk inovatif dalam bidang seperti kecerdasan buatan (AI), keamanan siber, atau Internet of Things (IoT).

     

    • Penstriman Langsung (Live Selling):
    • Ini melibatkan hos penstriman langsung yang secara interaktif mempromosikan dan menjual produk secara langsung kepada penonton dalam talian melalui platform seperti Tiktok Shop. Contohnya, penjual menggunakan teknik pengstriman langsung untuk memperluaskan jangkauan dan meningkatkan penjualan produk mereka.

     

    • Mobiliti:
    • Usahawan dalam industri mobiliti terlibat dalam pengembangan teknologi dan perkhidmatan yang memudahkan pergerakan orang dan barang. Ini termasuk perusahaan yang mencipta aplikasi pengangkutan awam, teknologi automotif seperti kereta elektrik, atau platform logistik untuk penghantaran barang.

     

    • Sains Hayat:
    • Usahawan ini berfokus pada bidang kesihatan, bioteknologi, dan perubatan dengan mengembangkan produk dan perkhidmatan yang menyokong penjagaan kesihatan masyarakat. Contohnya, mereka mungkin mencipta alat perubatan pintar, ubat-ubatan bioteknologi, atau teknologi untuk menganalisis data kesihatan.

Lampiran

Tiada Lampiran.