Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
148) SEWA PERUMAHAN PPR
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Nasir Bin Hashim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Baru-baru ini Kerajaan Negeri telah mengkaji semula kadar sewa untuk rumah PPR di mana ianya telah dikurangkan dari RM 250 sebulan ke RM 124 sebulan bagi mereka yang layak . Senaraikan syarat-syarat bagi seseorang layak membayar sewa RM 124 sebulan sahaja.
Kerajaan Negeri masih mengekalkan kadar sewa RM250.00 sebulan kepada penyewapenyewa PPR dan council homes di Negeri Selangor. Kadar sewa RM124.00 sebulan hanya layak dipertimbangkan kepada penyewa-penyewa yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM1,500.00 sebulan dengan mempunyai 5 orang isi rumah. Walau bagaimanapun, syarat seperti warganegara Malaysia dan belum memiliki sebarang jenis rumah juga diambil kira dalam menentukan penyewa tersebut layak membayar sewa pada kadar RM124.00 sebulan.
-
Kenapakah seseorang yang mendapat bantuan zakat atau bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak layak menerima tawaran bayaran sewa RM 124?
Penyewa yang menerima bantuan zakat atau Jabatan Kebajikan Masyarakat sekiranya masih berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan dan mempunyai 5 isi rumah masih layak membayar sewa pada kadar RM124.00 sebulan. Semakan hanya dibuat bagi mengenal pasti mana-mana penyewa yang berada di bawah kategori miskin dan jenis bantuan yang diterima daripada agensiagensi berkaitan. Sekiranya penyewa mendapat pelbagai bantuan daripada agensi-agensi yang berbeza seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Program Kemiskinan Bandar (PKB) maka kaedah penyelesaian yang sama akan diguna pakai iaitu layak dipertimbangkan membayar sewa RM124.00 sekiranya jumlah bantuan bulanan tidak melebihi RM1,500.00 dengan mempunyai 5 orang isi rumah. Ini dapat memberi keadilan kepada penyewa lain yang langsung tidak menerima sebarang bantuan tetapi masih membayar sewa pada kadar RM250.00 sebulan.