Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

115) SENI PENTAS NEGERI SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Ong Chun Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha kerajaan dalam memartabatkan seni pentas di Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited dalam memartabatkan seni pentas di negeri Selangor melalui penganjuran pelbagai program, antaranya program Pesta Rentak Selangor yang mula diperkenalkan pada tahun 2016 sebagai satu program persembahan kesenian pentas berskala konsert yang menampilkan pelbagai persembahan kaya dengan keunikan kebudayaan dan disertai oleh pemain dan penggiat seni ternama bagi menyokong industri seni tempatan. Pada tahun ini, Pesta Rentak Selangor telah diberi nafas baharu dengan tersebut kepada generasi serta pelapis baharu menerusi persembahan berirama 80-an yang menampilkan lagenda-lagenda tanah air seperti YBhg. Dato’ Jamal Abdillah, YBhg. Dato’ Francissca Peter, Zur Erda dan ramai lagi.

    Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKNS) menganjurkan Malam Gala sempena program Silang Budaya Selangor – Thailand yang menyaksikan pelbagai persembahan seni pentas kebudayaan antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Wilayah Pattani, antaranya seni muzik Cempuling dan seni tarian Piring Selangor, Joget Selangor serta Ronggeng. Diadakan secara tahunan bermula tahun 2023, program Silang Budaya melibatkan lawatan kerja ke negara-negara anggota ASEAN yang terpilih untuk memperkenal dan mempromosikan seni dan budaya Negeri Selangor di peringkat antarabangsa. Program ini secara langsung turut meningkatkan visibliti industri seni dan budaya Negeri Selangor menerusi penglibatan penggiat seni dan budaya Negeri Selangor di peringkat antarabangsa.

    Di samping itu, pementasan teater yang telah dan akan dilaksanakan sepanjang tahun 2024 di negeri Selangor oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor dan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) adalah:

    1. Teater “Bujang Lapok Kembali Daa…” pada 31 Mei hingga 2 Jun 2024;
    2. Teater Tradisional: Mek Mulung Putera Cahaya Bulan pada 27 dan 28 Oktober 2024;
    3. Teater Klasik India: Ayappa pada 8 dan 9 November 2024; iV. Teater Muzikal Sudirman pada 14 dan 15 Disember 2024; dan
    4. Teater Muzikal Permata Seni pada 14 dan 15 Disember 2024.

    Kerajaan Negeri melalui PADAT juga menganjurkan bengkel latihan, kursus teater dan sesi latihan seni persembahan secara berkala untuk memperkasa bakat muda serta meningkatkan kemahiran penggiat seni tempatan dalam aspek lakonan, pengarahan dan produksi. Bagi mendekatkan seni pentas kepada golongan muda, Kerajaan Negeri juga bekerjasama dengan sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk menggalakkan penyertaan pelajar dalam aktiviti seni persembahan melalui pementasan teater sekolah, pertandingan lakonan, dan program kesenian universiti.

    Selain itu, Kerajaan Negeri telah menaiktaraf Teater Diraja Shah Alam sebagai pusat seni yang menyokong penggiat seni tempatan, memperkaya warisan seni budaya negeri, dan memperkasa industri kreatif peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Teater ini dijangka menjadi salah satu lokasi utama bagi penganjuran program kebudayaan dan kesenian dalam Tahun Melawat Selangor 2025, selaras dengan usaha negeri untuk memperkukuhkan sektor pelancongan melalui warisan budaya dan seni.

    Pada masa yang sama, kemudahan prasarana seni pentas di bawah Jabatan/Agensi Kerajaan Negeri seperti Auditorium Bangunan Jubli Perak Shah Alam, Auditorium MBSA, Dewan Sivik MBPJ dan banyak lagi adalah sentiasa terbuka untuk terbuka bagi kerjasama penganjuran dan penggunaan oleh pelbagai pihak.

    Inisiatif-inisiatif ini tidak hanya memperkaya landskap seni persembahan di Selangor, malah menggambarkan komitmen jitu Kerajaan Negeri dalam memastikan seni pentas terus berkembang, terpelihara dan relevan sepanjang masa.

  2. Adakah kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan pembinaan satu daerah satu dewan teater?

    Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan pembinaan satu daerah satu dewan teater sebagai usaha untuk menyemarakkan seni pentas di negeri Selangor. Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan kerjasama strategik dengan Jabatan/Agensi Kerajaan, Daerah/Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan penggiat-penggiat seni, termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Selangor bagi merealisasikan cadangan tersebut pada masa datang.

Lampiran

Tiada Lampiran.