Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
34) SENI DAN BUDAYA
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Adat Istiadat & Warisan
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah yang telah dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri bagi mengalakkan perkembangan seni dan budaya di bawah Kerajaan Negeri Selangor?
Kerajaan Negeri mengiktiraf sumbangan golongan atau penggiat seni dan budaya kepada masyarakat dan negara melalui pelbagai program dan projek yang sedang dan telah dilaksanakan di mana Kerajaan Negeri juga meletakkan tanggungjawab memelihara dan memulihara perkembangan seni dan budaya adalah sama penting dengan elemen-elemen perkembangan sosial bangsa.
Terdahulu, Kerajaan Negeri telah mengaktifkan Kota Seni Shah Alam dan Kota Seni Petaling Jaya di mana melalui pengaktifan kota-kota seni ini, Kerajaan Negeri telah membuka banyak ruang dan peluang kepada penggiat seni budaya dan seni kreatif untuk terus berkarya. Antaranya
adalah pewujudan lorong-lorong seni yang penuh dengan pelbagai aktiviti dan ruangan berkarya dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Keberkesanan pengaktifan ini dapat dilihat dengan jelas apabila aktiviti sebegini secara langsung telah menarik minat beberapa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain untuk turut mewujudkan lorong-lorong seni, ruangan mural dan ruangan untuk penggiat seni berkarya.
Kerajaan Negeri juga dengan kerjasama Galeri Shah Alam di Tasik Shah Alam telah melaksanakan pelbagai pameran dan aktiviti seni yang berskala kecil hingga kebangsaan dengan menampilkan karya-karya hebat termasuklah dari luar negara. Di sinilah juga, pelbagai aktiviti pendidikan dan wacana telah dilaksanakan bagi menarik minat golongan muda serta penglibatan golongan pendidik dan profesional telah menjadikan peranan Galeri Shah Alam amat signifikan kepada pembangunan seni dan budaya di negeri Selangor terutama seni lukis, seni catan dan seni arca.
Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah mewujudkan Blacbox@SACC yang bertujuan untuk menjadi platform kepada penggiat seni meluahkan serta mempamerkan karya seni kreatif mereka terutama dari aspek seni persembahan dan seni kreatif.
Bagi memastikan golongan seni dan budaya terus segar dan memilih negeri Selangor untuk berkarya, Kerajaan Negeri juga telah memainkan peranan dengan membantu golongan-golongan ini yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lepas. Antaranya, adalah projek
Kita Buskers Selangor yang telah dijalankan pada tahun 2021 telah memberi manfaat kepada 720 orang penggiat seni jalanan.
Perkembangan seni dan budaya terutama budaya tradisional tidak akan mampu bertahan sekiranya ia dilihat tidak releven lagi pada hari ini. Justeru, Kerajaan Negeri telah melaksanakan program Rentak Selangor yang bertujuan untuk menonjolkan kumpulan-kumpulan kebudayaan tradisional di peringkat akar umbi iaitu di kalangan penduduk kampung kepada pengamal media cetak dan elektronik dari dalam dan luar negara untuk dipromosikan sebagai kumpulan-kumpulan kebudayaan negeri Selangor. Melalui usaha ini, Kerajaan Negeri telah memberikan bantuan pendedahan dan promosi secara langsung kepada kelompok seni ini. Kerajaan Negeri juga telah menerima maklum balas yang amat memberangsangkan daripada kumpulan-kumpulan ini apabila mereka memaklumkan jemputan membuat persembahan telah meningkat hasil daripada hebahan dan promosi yang telah dijalankan. Peningkatan jemputan persembahan ini telah menarik minat golongan muda untuk turut serta sekali gus melahirkan pelapis penggiat seni kebudayaan tradisional.
Bagi memastikan seni dan budaya setempat tidak ditelan zaman, Kerajaan Negeri turut telah melaksanakan pelbagai kajian, penyelidikan, bengkel, dan seminar dalam bidang kebudayaan serta warisan melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) yang mana ianya bertujuan untuk mengenal pasti, merekod dan mendokumentasi elemen kebudayaan dan warisan yang terdapat di Selangor. Antara kejayaan program yang dilaksanakan sebelum ini adalah pengembangan seni muzik tradisional (seperti cempuling dan keroncong), pertandingan tarian
tradisional (seperti tarian piring, tarian pooja) pertandingan permainan tradisional, persembahan kebudayaan, pameran dan lain-lain.
PADAT juga telah menjalankan pelbagai usaha untuk mengangkat elemen-elemen kebudayaan dan warisan yang telah dikenal pasti sebagai identiti Selangor seperti kain telepuk, kebaya Selangor, wau kapal, dan motif bunga tanjung.
Pengembangan seni dan budaya juga dilakukan melalui penerbitan buku-buku separa ilmiah yang diterbitkan oleh PADAT hasil dapatan dari kajian yang dilakukan. Sebanyak tujuh (7) buah buku baharu PADAT berkenaan seni dan budaya Selangor bakal dilancarkan pada 8 Ogos 2022 di Pustaka Raja Tun Uda Shah Alam.
Terkini, Kerajaan Negeri telah membeli sebuah kompleks bangunan milik Bank Negara di tengah bandaraya Shah Alam yang berharga RM33.4 juta untuk dijadikan pusat mempamerkan karya-karya seni serta bakal menjadi salah satu pusat aktiviti kebudayaan dan kesenian yang utama di Negeri Selangor.