Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

155) SEMINAR BIMBINGAN KHUSUS PELAJAR SEKOLAH MENENGAH UNTUK PT3 DAN SPM

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Budiman Bin Mohd Zohdi

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri menganjur apa-apa seminar bimbingan bagi pelajar yang bakal menduduki PT3 dan SPM tahun ini?

    Untuk para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan PT3 Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Permuafakatan Institusi Pendidikan Islam Selangor (MAPPIS) akan mengadakan program Pecutan Akhir bagi calon PT 3 yang berada di Sekolah Agama Rakyat . Untuk para pelajar yang akan menduduki SPM pula, Kerajaan Negeri menyediakan Program Seminar Belajar Secara Bijak yang dikenali sebagai Program “Successful Intelligence” dan untuk persediaan akhir SPM Kerajaan Negeri akan mengadakan Program Pecutan Akhir SPM yang akan bermula pada bulan September nanti.

  2. Adakah Kerajaan Negeri meletakkan apa-apa sasaran bagi pencapaian pendidikan pelajar-pelajar sekolah di Negeri Selangor pada tahun ini?

    Seperti yang sudah sedia maklum, pendidikan merupakan satu sektor di bawah bidang kuasa kerajaan pusat, manakala Kerajaan Negeri mempunyai batasan untuk mengelola polisi pendidikan. Malahan pihak sekolah juga, terutamanya sekolah awam di sekitar Selangor, difahamkan telah mendapat arahan untuk tidak terlibat secara terus dengan sebarang program yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri. Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor termasuklah Exco Pendidikan dan wakil rakyat daripada PAS, KEADILAN dan DAP juga dihalang masuk ke sekolah-sekolah kebangsaan. Sedangkan, saya ada terima aduan PIBG-PIBG yang diketuai pimpinan UMNO telah menjemput pimpinan bahagian UMNO secara terbuka di Majlis PIBG mereka. Adakah adil wakil kerajaan dan wakil rakyat dihalang tetapi ahli pimpinan UMNO dibenarkan? Oleh kerana bidang kuasa Kerajaan Negeri yang terhad di dalam sektor tersebut, ia meletakkan satu batasan bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor untuk menetapkan sebarang sasaran pencapaian pendidikan bagi pelajar-pelajar sekolah di negeri ini. Oleh itu, seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, negara ini perlukan satu anjakan paradigma di dalam sektor pendidikan. Bidang kuasa di dalam bidang pendidikan perlulah diturunkan untuk membolehkan setiap negeri mempunyai persaingan sesama sendiri. Kuasa ini juga boleh diturunkan seterusnya ke peringkat daerah dan sekolah. Dalam pada itu kita perlu berikan para ibu bapa, pendidik dan pelajar keterbukaan untuk bersuara di dalam perihal pembikinan polisi, dan bukan hanya memberi kuasa penuh kepada ahli politik Kerajaan Pusat dan birokrat yang terselindung di Putrajaya.

Lampiran

Tiada Lampiran.