Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

382) SEMIKONDUKTOR DAN CIP KOMPUTER

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Tuan Dr. Quah Perng Fei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah dan dasar Kerajaan Selangor untuk mendapat pelabur untuk melabur semikonduktor dan cip komputer?

    Industri pembuatan produk semikonduktor dan cip komputer merupakan salah satu cabang industri dalam kategori industri Elektrikal & Elektronik (E&E) yang dikenalpasti sebagai industri strategik yang diberikan tumpuan oleh pihak Kerajaan Negeri.

    Untuk tujuan itu, Kerajaan Negeri mengambil langkah progresif dalam mempromosikan peluang pelaburan ke Negeri Selangor diperingkat antarabangsa, seperti penyertaan dalam program SEMICON Korea (31hb Jan – 2hb Feb 2024), di mana Invest Selangor telah dijemput untuk mempromosi Selangor sebagai destinasi pelaburan dalam sektor pembuatan E&E di Malaysia.

    Lanjutan daripada itu, Invest Selangor juga menyertai SEMICON Southeast Asia (28hb – 30hb Mei 2024) di Kuala Lumpur sebagai pempamer, dan merancang untuk menyertai SEMICON Jepun pada 13hb – 15hb Dis 2024, dan SEMICON Southeast Asia di Singapura pada 20hb – 22hb Mei 2025.

    Selain itu, Kerajaan Negeri melalui kerjasama Invest Selangor dan Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC) berhasrat untuk melonjatkan rantaian nilai (value chain) dalam sektor pembuatan E&E di Selangor secara komprehensif dari back end ke front end dengan mewujudkan sebuah Pusat Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC Design Park) bertempat di Puchong Financial Corporate Centre (PFCC). IC Design Park ini memberi fokus untuk memperkasakan inovasi dan rekabentuk dalam industri semikonduktor. Melalui kewujudkan IC Design Park ini kelak secara langsung dapat meningkatkan bakat dan kepakaran tempatan, memupuk perkongsian antarabangsa dan selanjutnya memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan teknologi dalam industri semikonduktor di Selangor khususnya.

    Sebagai langkah untuk memperkenalkan Negeri Selangor sebagai destinasi utama pelaburan di rantau Asia Tenggara, Kerajaan Selangor turut menganjurkan program pameran Selangor Investment Industrial Park Expo (SPARK) 2024 dalam usaha meningkatkan lagi aktiviti pelaburan di Selangor. Pameran ini akan memberi peluang pemaju – pemaju kawasan perindustrian untuk mempromosikan kawasan – kawasan perindustrian baharu yang dibangunkan kepada para pelabur yang berpotensi.

    Dalam usaha menyediakan prasarana pelaburan yang kondusif, Kerajaan Negeri turut menggalakkan pembukaan kawasan – kawasan perindustrian baharu yang berkonsepkan Managed Industrial Park (MIP) bagi penempatan industri E&E  berteknologi tinggi di Selangor.

  2. Berapakah kilang semikonduktor yang berada di Selangor?

    Berdasarkan rekod sebanyak 37 syarikat yang terlibat dalam industri semikonduktor dan yang berkaitan beroperasi di Negeri Selangor.

  3. Berapakah jumlah nilai menyumbang kepada ekonomi negara daripada semi kontraktor?

    Merujuk kepada laporan Prestasi Perdagangan bagi tempoh Januari – Mei 2024 yang diterbitkan oleh MITI, perdagangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 10.3% kepada RM246.31 bilion. Nilai eksport meningkat dan berkembang 7.3% kepada RM128.22 bilion. Pertumbuhan eksport ini disumbangkan terutamanya oleh eksport yang kukuh bagi barangan elektrik dan elektronik (E&E).

    World Semiconductors Trade Statistics (WSTS) menjangkakan pertumbuhan kukuh dalam pasaran semikonduktor global sebanyak 16% pada tahun 2024 dan Malaysia disenaraikan sebagai pengekport global ke-10 terbesar bagi barangan E&E dan pengekport terbesar bagi semikonduktor pada tahun 2023.

    Eksport barangan E&E direkodkan bernilai RM50.14 bilion dan merangkumi 39.1% daripada jumlah eksport keseluruhan.

    Bagi tahun 2023, Negeri Selangor telah merekodkan kelulusan sebanyak 14 projek pelaburan dalam industri E&E dengan nilai pelaburan berjumlah RM 9.79 bilion iaitu 50% daripada jumlah keseluruhan nilai pelaburan yang diluluskan di Selangor. Manakala bagi tempoh Januari hingga Mac 2024, sebanyak 5 projek pelaburan dalam industri E&E dengan nilai pelaburan berjumlah RM 22 juta telah diluluskan di Selangor.

    Berdasarkan kedudukan Malaysia sebagai pengekport global ke-10 terbesar bagi barangan E&E dan semikonduktor serta Negeri Selangor antara negeri yang menjadi lokasi utama pelaburan bagi pemain – pemain industri semikonduktor di Malaysia, dapat disimpulkan bahawa industri ini merupakan salah satu industri yang menjadi penyumbang terbesar kepada pertumbuhan ekonomi negeri dan negara secara amnya.

    Sumber : Laporan Prestasi Perdagangan : Januari – Mei 2024 (MITI)

Lampiran

Tiada Lampiran.