Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
27) SEMIKONDUKTOR
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Ong Chun Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan kerajaan dalam memastikan industri semikonduktor di Selangor terus berkembang dan memanfaatkan rakyat Selangor?
Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk memastikan industri semikonduktor terus berkembang dan memberikan faedah kepada rakyat. Antaranya ialah:
- Pembangunan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC Design Park): IC Design Park di Puchong yang merupakan pusat sektor semikonduktor terbesar di Asia Tenggara dijangka membuka hampir 500 peluang pekerjaan profesional.
- Pembangunan Modal Insan: Melalui kerjasama dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) dan Akademi Semikonduktor Malaysia (ASEM), pelbagai program latihan telah disediakan untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam semikonduktor dan AI.
- Sumbangan kepada Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS): Selangor berhasrat untuk menyumbang sehingga 30% kepada NSS, yang bertujuan menjana RM100 bilion setahun dalam industri elektrik dan elektronik.
-
Adakah IC Design Park di Selangor akan terus ditambah?
Kerajaan Negeri Selangor merancang untuk menambah bilangan Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC Design Park) bagi memenuhi permintaan industri semikonduktor yang semakin meningkat. Selepas kejayaan IC Design Park pertama di Puchong, yang kini telah mencapai kapasiti penuh, perancangan sedang dijalankan untuk membangunkan taman kedua di Cyberjaya. pihak Sidec sedang meneroka ‘Park 2 @ Cyberjaya’ yang dijangka akan menyediakan ekosistem yang baik untuk menampung lebih ramai jurutera. Perancangan ini dijangka dilancarkan pada awal atau pertengahan tahun depan.
Langkah ini selaras dengan strategi kerajaan untuk melancarkan sebuah IC Design Park setiap tahun sehingga 2028, dengan matlamat membangunkan empat hingga lima taman dalam tempoh empat tahun akan datang.
-
Apakah kayu ukur kepada kejayaan IC Design Park Selangor?
Dari segi Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI), pembangunan IC Design Park di Selangor dijangka menarik pelaburan yang signifikan. Kerajaan menyasarkan pelaburan sekurang-kurangnya RM500 bilion untuk fasa pertama dalam Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS), dengan pelaburan langsung domestik (DDI) memfokuskan kepada reka bentuk litar bersepadu (IC), pembungkusan termaju dan peralatan pembuatan.
Dari segi nilai eksport, Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) menyasarkan hasil eksport semikonduktor bakal mencecah RM1.2 trilion menjelang tahun 2030. Dari segi potensi pendapatan, pembangunan IC Design Park di Selangor dijangka memberikan pulangan yang tinggi. Sebagai contoh, Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC Design Park) di Puchong dijangka menawarkan lebih 300 peluang pekerjaan profesional dalam tempoh setahun beroperasi, dengan gaji bulanan antara RM5,000 hingga RM7,000.
Selain itu, pelan strategik semikonduktor kebangsaan menyasarkan untuk menjana nilai tahunan RM100 bilion dalam sektor semikonduktor dan eksport elektrik dan elektronik (E&E), dengan Selangor bersedia menyumbang sehingga 30 peratus daripada sasaran tersebut.
Secara keseluruhan, penambahan IC Design Park di Selangor dijangka memberikan impak positif kepada ekonomi negeri melalui peningkatan pelaburan, nilai eksport, dan pendapatan, serta mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi bagi rakyat tempatan.
Sumber : Selangor Information Technology & Digital Economy Corporation (SIDEC)