Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

30 Oktober 2020 - 12 November 2020

223) Semasa Tiadanya Exco Perumahan

Tahun: 2020

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Tahniah EXCO Perumahan yang baru. Sepanjang tiadanya EXCO Perumahan siapakah yang memangku tugas tersebut?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 8 Julai 2020 telah memutuskan Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor memangku portfolio Perumahan dan Kehidupan Bandar bermula 8 Julai 2020 sehingga EXCO yang baharu dilantik.

  2. Apakah status urusetia dan kakitangan yang ditugaskan sebagai warga kerja dalam jawatankuasa-jawatankuasa tetap?

    Untuk makluman Y.Berhormat, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor adalah urus setia kepada STANDCO Perumahan dan Kehidupan Bandar. Perlaksanaan program-program yang telah dirancang di bawah portfolio Perumahan dan Kehidupan Bandar telah diselaraskan semula akibat penularan pendemik Covid-19. Di antara program-program yang dilaksanakan semasa Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor memangku portfolio Perumahan dan Kehidupan Bandar adalah program Laman Hijau yang melibatkan pangsapuri-pangsapuri sekitar Negeri Selangor dan Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Pemantauan Projek Terbengkalai. Y.A.B. Dato’ Menteri Besar juga telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Rumah Selangorku pada 28 Ogos 2020.

    Pada 7 Oktober 2020 Y.A.B. Dato’ Menteri Besar telah melakukan rombakan portfolio Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor serta portfolio Perumahan dan Kehidupan Bandar telah dijenamakan semula sebagai portfolio Perumahan dan Kesejahteraan Bandar dan dipengerusikan oleh YB. Puan Rodziah binti Ismail.

Lampiran

Tiada Lampiran.