Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018

23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018

235) SEMAKIN BANYAK SEKOLAH MEMINTA BANTUAN DARI ADUN DAN AHLI PARLIMEN

Tahun: 2018

Sesi: 3

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Ronnie Liu Tian Khiew

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Semakin banyak sekolah meminta bantuan dari Adun dan Ahli Parlimen. Adakah kerajaan akan menambah lagi Peruntukan kepada Adun dan Ahli Parlimen untuk bantuan sekolah-sekolah?

    Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan pembangunan perkhidmatan masyarakat selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) ke 41/2016 yang diadakan pada 14 Disember 2016 dan disahkan oleh MMKN ke 42/2016 pada 21 Disember 2016 iaitu kepada Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri sebanyak RM1,100,000.00 dan setiap Ahli Dewan Negeri RM800,000.00. Daripada peruntukan ini, sebanyak 30 peratus boleh digunakan untuk tujuan pelaksanaan projek kecil di sekolah dan sumbangan Program Mesra Rakyat kepada sekolah.

    Selain peruntukan tersebut, Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan untuk Projek Bantuan Sekolah berjumlah RM24 juta setahun untuk diagihkan kepada Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina, Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina.

    Bagi Ahli Parlimen pula, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sejumlah RM 2 juta bagi tujuan Program Mesra Rakyat (PMR) yang boleh dioptimumkan penggunaan dengan peruntukan di bawah Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.