Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

266) SELVAX

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimana Selvax membantu untuk mempercepatkan pengambilan vaksin di Selangor?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan dari Sementa (N43) No.194 (a), Bukit Melawati No.198 (a), Bukit Gasing (N34) No.202 (b), Pandamaran (N47) No.246 (b), Sungai Panjang (N03) No.255 dan Sungai Burong (N08) No.256 (b). Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, Kerajaan Negeri menyedari bahawa usaha bagi mencapai imuniti kelompok perlu dipercepatkan agar sektor sosial dan ekonomi dapat dibuka secara berperingkat.

    Justeru, Kerajaan Negeri melalui SELGATE Healthcare Sdn Bhd, sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Program Vaksin Selangor (SELVAX).  SELVAX yang bertujuan melengkapi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) akan melibatkan vaksinasi kepada 1.25 juta warga Selangor yang terdiri daripada 250,000 orang awam yang akan menerima vaksin secara percuma dan 1 juta pekerja sektor industri dan ekonomi.  Sehingga 22 Ogos 2021, bilangan dos vaksin yang telah disuntik bagi Program SELVAX Komuniti adalah sebanyak 224,880 dos. Bagi Program SELVAX Industri, bilangan dos vaksin yang telah disuntik sehingga 22 Ogos 2021 adalah sebanyak 142,719 dos daripada 750,000 dos yang diperuntukkan berdasarkan stok yang telah dibeli. SELVAX juga telah melaksanakan program vaksinasi secara walk in melalui kaedah pra-pendaftaran termasuk kepada warga asing bermula 3 Ogos sehingga 13 Ogos 2021.

    Melalui pelaksanaan program PICK dan SELVAX di Negeri Selangor, usaha bagi mencapai imuniti kelompok dapat dipercepatkan dan dijangka boleh dicapai menjelang bulan Oktober 2021.

  2. Berapa jumlah kos yang telah ditanggung oleh kerajaan bagi program Selvax?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan dari Lembah Jaya (N20) No. 86 (a) dan Bukit Gasing (N34) No.202 (a). Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pelaksanaan program Vaksin Selangor (SELVAX) yang bertujuan mempercepatkan usaha ke arah komuniti kelompok dibiayai melalui pinjaman Kerajaan Negeri kepada SELGATE Healthcare Sdn Bhd berjumlah RM127.5 juta. Jumlah ini adalah bersesuaian dengan keperluan dan kepentingan pelaksanaan program SELVAX dalam memastikan setiap warga Selangor yang layak mendapat suntikan vaksinasi dan seterusnya memastikan penularan Covid-19 dapat dikawal.

  3. Apakah rancangan seterusnya untuk program Selvax?

    Soalan ini akan dijawab bersekali dengan soalan dari Balakong (N27) No.12(c). SELGATE akan meneruskan penjualan vaksin melalui klinik panel di seluruh negara untuk melaksanakan pemberian dos vaksin. Selain itu, SELVAX juga dalam persiapan untuk suntikan ketiga (booster shot) sekiranya perlu, dan penerima vaksin berumur 3 hingga 17 tahun tertakluk kepada kelulusan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid (JKJAV).

Lampiran

Tiada Lampiran.