Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
195) SELANGOR SMART AGRO PARK (SSAP)
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Dato' Mohd Imran Bin Tamrin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah status terkini tapak SSAP?
Status terkini tapak pertanian SSAP @ Changkat Menteri adalah seperti berikut.
Sebarang kerja pembangunan di tapak pertanian seluas 450 hektar daripada keseluruhan 971 hektar ini belum bermula lagi bagi memastikan segala syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri dipatuhi terlebih dahulu. Kawasan seluas 571 hektar pula akan dikekalkan sebagai Central Forest Spine (CFS). PKPS sedang menyediakan Terma Rujukan (TOR)
bagi Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) di bawah Jadual 2 untuk dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya dan dijangkakan TOR tersebut akan dihantar pada pertengahan bulan Disember 2021.
-
Apakah tindakan Kerajaan bagi memastikan tiada pencerobohan atau sebarang kerja-kerja yang tidak dibenarkan dilakukan di tapak SSAP?
Tindakan yang diambil Kerajaan bagi memastikan tiada pencerobohan dan tiada sebarang kerja-kerja yang tidak dibenarkan dilakukan di tapak SSAP adalah seperti berikut :
PKPS telah mengambil tindakan kawalan yang ketat bagi mengelakkan pencerobohan seperti berikut;
a) Meletakkan pengawal keselamatan yang bertugas mengawal kawasan tersebut selama 24 jam sehari.
b) Penyedian parit sempadan di sepanjang sempadan tanah.
c) Kerjasama erat dengan agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan Pejabat Tanah Daerah Sabak Bernam dengan mengadakan rondaan secara berkala di kawasan tanah tersebut.