Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

53) SELANGOR SASAR 60% GUNA PENGANGKUTAN AWAM

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah progres pencapaian sasaran 60% penggunaan pengangkutan awam bagi Negeri Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui pelaksanaan inisiatif seperti Bas Smart Selangor dan van transit atas permintaan (Demand-Responsive Transit –DRT) mendapati bahawa capaian penggunaan pengangkutan awam semakin mendapat sambungan yang baik daripada pengguna di mana bilangan jumlah penumpang meningkat dari semasa ke semasa. Berdasarkan data terkini, purata penggunaan harian pengangkutan awam di Selangor adalah sekitar 1.1 juta penumpang. Ini termasuk perkhidmatan yang dikendalikan oleh Prasarana Malaysia Berhad seperti LRT, MRT, Monorel dan bas. Selain itu, projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan kawasan Bandar Utama, Petaling Jaya hingga Johan Setia, Klang yang dijangka beroperasi mulai 1 Mac 2025 juga akan memberikan impak yang positif terhadap peningkatan penggunaan pengangkutan awam oleh orang ramai. Walau bagaimanapun,  masih terdapat perkara yang perlu ditambahbaik merangkumi  penyediaan infrastruktur dan kesalinghubungan (connectivity) rangkaian pengangkutan awam di negeri Selangor. Hal ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor begitu komited  untuk mencapai sasaran 60% penggunaan pengangkutan awam menjelang tahun 2035.

  2. Nyatakan strategi Blueprint Pengangkutan Awam Negeri Selangor.

    Kerajaan Negeri dalam perancangan menyediakan sebuah pelan pengangkutan awam yang komprehensif. Pelan ini memberi tumpuan kepada pembangunan dan penyediaan perkhidmatan jaringan pengangkutan yang menyeluruh dan memenuhi keperluan ‘First Mile, Last Mile’. Pelan ini tidak hanya memfokuskan kepada mod pengangkutan seperti bas, rel, teksi, atau e-hailing sahaja, tetapi juga merangkumi semua aspek pengangkutan dalam satu ekosistem yang melibatkan infrastruktur lain seperti perhentian bas, hab pengangkutan awam, mikromobiliti, e-skuter, dan laluan pejalan kaki.

    Pada masa ini, Terma Rujukan (TOR) untuk Kajian Pelan Induk Mobiliti Negeri Selangor sedang dalam peringkat akhir penyediaanya. Sesi bengkel bersama semua (PBT) Negeri Selangor dengan Jabatan Teknikal telah diadakan pada 1hb hingga 4hb Ogos 2024 bagi membincangkan TOR bagi memastikan kajian yang akan dilaksanakan adalah menyeluruh dan mengambilkira dasar,  strategi dan garis panduan yang berkaitan sama ada yang merangkumi di peringkat negeri, negara dan antarabangsa selain memberi penekanan terhadap isu-isu pengangkutan awam yang dihadapi oleh setiap PBT dan memberi fokus kepada usaha Kerajaan Negeri untuk mempertingkatkan aksesibiliti kepada perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih selesa dan efisien kepada rakyat negeri ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.