Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023

13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)

148) SELANGOR MENTAL SIHAT (SEHAT)

Tahun: 2023

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah impak dan keberkesanan bagi usaha-usaha advokasi program SEHAT termasuklah program siri bicara advokasi kesihatan mental, penghasilan modul pencegahan bunuh diri, modul positif psikologi serta penghasilan modul talian SEHAT?

    Untuk makluman Yang Berhormat, Program Selangor Mental Sihat (SEHAT) mempunyai beberapa komponen utama antaranya ialah fungsi khusus di aplikasi Selangkah yang merangkumi ujian saringan, talian SEHAT yang dikendalikan oleh kaunselor yang bertauliah dan juga program-program advokasi kesihatan mental seperti siri bicara kesihatan mental dan juga pelaksanaan program berdasarkan modul-modul tertentu seperti modul positif psikologi dan modul pencegahan bunuh diri.

    Sehingga 28 Februari 2023, talian SEHAT telah menerima lebih 489 panggilan yang merangkumi pelbagai isu berkaitan psikologi dan masalah mental. Sebahagian daripada pemanggil ini yang mempunyai masalah yang agak serius akan disyorkan oleh pihak kaunselor untuk rujukan seterusnya.

    Manakala sebanyak 10 program advokasi kesihatan mental telah dijalankan pada tahun 2022 dan menerima lebih 3120 penonton. Modul pencegahan bunuh diri pula telah diberi kepada 30 orang kaunselor talian SEHAT yang mengendalikan panggilan dan modul positif psikologi mendapat 1011 pengguna setakat 28 Februari 2023.

Lampiran

Tiada Lampiran.